Wanita Thailand, China Di Rumah Urut Jalan Putra Dicekup Imigresen Kedah


ALOR SETAR - Imigresen Kedah menahan dua wanita warga Thailand dan China dalam Op Ikrar yang dijalankan di sekitar kawasan Jalan Putra di sini Rabu malam.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi pada pukul 9.45 malam itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas enam warga asing dan empat warga tempatan di premis rumah urut di Jalan Putra.

"Hasil pemeriksaan dua wanita warga Thailand dan China yang berumur antara 42 dan 44 tahun ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun turut ditahan kerana melindungi mereka.

"Pemerhatian mendapati premis yang bermula pukul 4 petang hingga pukul 10 malam itu menjadi tempat kunjungan warga asing dan tempatan di sekitar kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.


Mohamad Yusri Hashim berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA