Wasatiyyah Sebagai Modul Mendepani Golongan Ekstrem


MENDEPANI cabaran semasa yang kelihatan agak ekstrem kebelakangan ini, pendekatan wasatiyyah bukanlah suatu modul yang baru diperkenalkan, tetapi pendekatan itu adalah pendekatan yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika memimpin negara Islam Madinah dalam menangani isu masyarakat pelbagai kepercayaan dan puak pada masa itu.

Ternyata pendekatan wasatiyyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berjaya menyatukan masyarakat di Mekah dan Madinah di samping mampu menjalani kehidupan penuh harmoni bersama penganut agama lain.

Kedatangan Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara baharu Madinah yang dikelilingi oleh musuh daripada pelbagai pihak dan agama termasuk bangsa Yahudi serta Nasrani tidak menghalang baginda daripada membangunkan negara itu sehingga digelar sebagai ‘ bandar yang bergemerlapan ‘.

Kedatangan Islam juga telah menyeimbangkan antara dua ideologi ekstrem pada masa itu iaitu golongan pelampau dalam beragama yang terlalu taksub dengan kepercayaan sehingga meninggalkan urusan duniawi serta pelampau materialisme.

Pendekatan wasatiyyah dalam Islam mengajak kesemua manusia mentauhidkan Allah SWT manakala pada masa sama menguasai ilmu pengetahuan dan mengambil manfaat dunia. Inilah contoh daripada sunnah dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Dalam Piagam Madinah, termaktub nilai toleransi (al-samahah) baginda sebagai dasar pemerintahan negara. Dalam konteks yang sama, Rasulullah SAW jelas mendoakan supaya Allah SWT memberi rahmat ke atas orang yang mengamalkan sifat toleransi dengan sabda baginda yang bermaksud :
“Semoga Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bertoleransi apabila ia menjual, membeli, apabila ia memberi hak dan apabila ia menuntut hak”. (Riwayat Bukhari).
Oleh itu, sifat toleransi tidak sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam, malah adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang menggalakkan amalan sifat ini dalam kehidupan masyarakat Islam di mana jua mereka berada.


Perkara ini menjadi dasar kerajaan bagi memelihara masyarakat majmuk yang berbilang agama dan kepercayaan supaya terus hidup aman dan harmoni di negara ini.

Pendekatan wasatiyyah turut berlandaskan kepada kepentingan maqasid syariah; siyasah al-syar’iyyah (undang-undang yang diperlukan dalam urusan sesebuah negara yang bertepatan dengan asas-asas agama) ; fiqh al-aulawiyyat (fiqh keutamaan) dan hikmah dalam pemerintahan berdasarkan keadaan serta kepentingan awam.

Dasar kesederhanaan yang diamalkan menerusi pendekatan wasatiyyah adalah selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini. Berbeza dengan fahaman lain termasuklah fahaman Zahiriah dan Muktazilah yang terlalu ekstrem dengan pegangan masing-masing.

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bersifat sederhana dengan menyeimbangkan kombinasi antara dalil naqli (rujukan al-Quran dan hadis) dan dalil aqli (rujukan akal) dalam mengamalkan gaya hidup Islam serta menetapkan sesuatu hukum bersesuaian dengan peredaran semasa. Berbeza dengan fahaman Zahiriah yang terlalu ekstrem dalam mentafsir hukum naqli manakala Muktazilah yang juga pelampau mengikut aqli.

Maka dapat ditegaskan di sini bahawa nilai-nilai yang ada dalam pendekatan wasatiyyah sangat dituntut oleh Islam supaya diamalkan. Pendekatan wasatiyyah ini bersifat komprehensif dan bersepadu yang mampu menyelesaikan permasalahan ummah. Inilah indahnya Islam.

*TAN SRI DR. ABDULLAH MD. ZIN, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri/Utusan