Yang Di-Pertuan Agong Terima Ijazah Doktor Kehormat Dari MSU

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan Strategik dan Kepimpinan dari Management and Science University (MSU) sempena konvokesyen MSU kali ke-18.

Tuanku Abdul Halim menerima anugerah berkenaan daripada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah selaku Canselor MSU, dalam istiadat konvokesyen khas yang diadakan di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara di sini.

Turut hadir Pro Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Presidennya Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, lembaga pengarah dan pengurusan kanan universiti.

Sementara itu, Dr Mohd Shukri berkata anugerah berkenaan merupakan penghargaan kepada Tuanku Abdul Halim berikutan keprihatinan baginda dalam bidang pendidikan.

Katanya sebagai contoh, baginda seringkali berkenan mencemar duli dalam pelbagai aktiviti dianjurkan MSU dan aktiviti di peringkat sekolah atau universiti lain.

"Ketokohan baginda dalam bidang pengurusan juga menyerlah apabila dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 1965 dan seterusnya sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia kelima antara 1970 hingga 1975," katanya.

Anugerah tersebut juga katanya sebagai mengiktiraf kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

"Baginda juga begitu prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

"Baginda dilihat sentiasa mencemar duli untuk berdampingan dengan rakyat jelata," katanya. - BERNAMA