113 Perokok Dikompaun Jabatan Kesihatan Di R&R Gurun

Penguatkuasa mengeluarkan kompaun kepada perokok mengingkari arahan larangan merokok di kawasan R&R Gurun.
GURUN - Jabatan Kesihatan Kedah mengeluarkan kompaun RM28,250 terhadap 113 perokok yang merokok di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun di Lebuhraya Utara-Selatan, baru-baru ini.

Operasi larangan merokok dilakukan Operasi bermula jam 8 pagi hingga 12 malam melibatkan 60 pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Kota Setar, Pendang, Padang Terap, Yan, Baling, Sik dan Bandar Baharu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, hasil operasi itu, 113 perokok dikompaun kerana melanggar peraturan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Mereka dikenakan kompaun minimum RM250 setiap seorang,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, seramai tiga pemilik premis turut dikompaun atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di dalam kedai atau tanda yang dipamerkan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

"Mereka dikompaun minimum RM250 seorang dan ia membawa kepada nilai keseluruhan berjumlah RM750.

“Selain itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut dikenakan kompaun atas kesalahan peraturan 13 (1) orang belum dewasa yang merokok,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang dikompaun didapati merokok di tempat makan, di dalam tandas dan di hadapan tempat masuk ke kedai makan.

“Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, mereka dikenakan kompaun RM250 dan perlu membayarnya di mana-mana Pejabat Kesihatan daerah dalam tempoh 30 hari.

“Mereka yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu katanya, JKN akan meneruskan operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 secara berkala bagi melindungi orang ramai daripada bahaya merokok.

"Kawasan R&R merupakan satu daripada 22 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan Kementerian Kesihatan dan mula dikuatkuasakan di Kedah sejak 2014.

“Penguatkuasaan larangan merokok di kawasan berkaitan bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok basi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian