Antara wanita warga asing yang berjaya ditahan pihak berkuasa dalam serbuan Ops Ikrar di tiga premis rumah urut di sekitar Kulim, malam kelmarin. |
KULIM - Jabatan Imigresen Kedah menahan 13 wanita warga asing dan dua lelaki warga tempatan dalam Ops Ikrar di tiga premis rumah urut sekitar daerah ini, malam kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 17 warga asing termasuk warga tempatan dalam operasi bermula pada jam 7.50 malam kelmarin.
Katanya, warga asing yang terdiri daripada 10 wanita warga Thailand, seorang wanita warga Laos, seorang wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Vietnam serta dua lelaki warga tempatan berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun.
“Kita melakukan pemeriksaan di lokasi pertama di Taman Kempas Indah yang mana seramai tiga wanita pelbagai warganegara ditahan bersama seorang lelaki manakala di lokasi kedua di Taman Cengal Indah, kami menahan tiga lagi wanita warga asing.
"Seramai tujuh wanita warga Thailand dan seorang lelaki warga tempatan ditahan di lokasi terakhir di rumah urut di Bandar Putra Kulim," katanya.
Menurutnya, ketika serbuan, kesemua warga asing didapati sedang sibuk melayan pelanggan dan tidak menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.
“Risikan yang dilakukan mendapati setiap premis menjadi tumpuan warga asing dan tempatan yang mahu mendapatkan perkhidmatan layanan pelanggan,” katanya.
Mohamad Yusri berkata, siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit disiasat mengikut Per.39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan manakala dua lelaki tempatan tersebut disiasat di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pind.2002) kerana melindungi warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen.
“Mereka ditahan di lokap Imigresen, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik,” katanya.
Selain itu katanya, tindakan penguatkuasaan Imigresen yang menyasarkan premis sebegini semestinya bagi membendung aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh warga asing dan sedikit sebanyak memberi kesan pada sosiobudaya masyarakat tempatan.
Sumber: Sinar Harian