Mangsa yang kelihatan lemah ketika dijumpai pihak bomba. |
TIKAM BATU - Akibat panik kerana gagal menemui jalan pulang, dua lelaki tempatan yang masuk ke dalam Hutan Taman Semarak, Tikam Batu, di sini, sempat menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
Mangsa, G Sivanathan, 22, dan N Madhavan, 29, yang berjalan kaki ke hutan itu, bagaimanapun ditemui selamat bersama dua anjing peliharaan mereka pada jam 9.21 malam, kelmarin.
Dua lelaki itu berjaya dibawa turun dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang menjalankan operasi mencari mereka.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihak bomba menerima panggilan daripada mangsa pada 7.59 malam.
Menurutnya, tiga pegawai dan lima anggota BBP Tikam Batu kemudian ke lokasi kejadian dan tiba di kawasan hutan itu pada 8.14 malam.
“Jarak mangsa ditemui dengan pos kawalan bomba dianggarkan kira-kira dua kilometer, pada jam 9.21 malam. Mangsa ditemui bersama dua ekor anjing dalam keadaan selamat dan tindakan membawa keluar mereka dijalankan,” katanya.
Nur Hafizah berkata, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 10.27 malam tadi dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dirawat.
“Menurut mangsa, mereka tidak jumpa jalan keluar kerana hari sudah gelap. Sebelum itu anjing peliharaan yang dibawa bersama didapati tiba-tiba tidak sihat dan lemah.
“Mereka cuba menyelamatkan anjing itu, hari sudah menjadi gelap. Mereka terpaksa menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan untuk bawa turun mereka dan juga dua anjing peliharaan mereka,” katanya.
Sumber: Sinar Harian