ROM — Penduduk Ostana, sebuah kota kecil di wilayah utara Itali, sebelum ini sudah lama tidak menyambut kelahiran seorang bayi namun segala-galanya berubah dengan kelahiran insan kecil itu, Pablo baru-baru ini.
Apa yang menyebabkan bayi ini begitu istimewa? Puncanya, ini adalah kelahiran pertama di kota itu setelah selama hampir 30 tahun. Bayangkanlah bayi terakhir di kota itu lahir pada 1987 dan kini berusia 28 tahun.
Kota yang terletak di kawasan pergunungan indah Piedmont itu mengalami penurunan populasi secara drastik selama satu abad terakhir. Kota ini dulu pernah suatu ketika zaman gemilangnya dihuni 1,000 orang penduduk.
Namun sejak daripada itu, jumlah penduduk Ostana terus menurun. Sebelum kelahiran Pablo, bayi terakhir lahir pada tahun 1987 sekali gus menjadikan penduduk kota itu hanya berjumlah kepada 85 orang sahaja pada masa ini.
Teruja dengan kelahiran Pablo, ia malah menjadi peristiwa istimewa bagi warga Ostana. Bayi tersebut bahkan sampai diarak keliling kota akibat terlalu gembira diraikan penduduk, menurut harian terkenal Itali, La Stampa.
Silvia Rovere mendaftarkan kelahiran Pablo di sebuah pejabat pendaftaran tempatan. |
Lucunya stesen ternama CNN melaporkan datuk bandarnya, Giacomo Lombardo sebagai mengesahkan bahawa Pablo selamat dilahirkan pada 24 Januari 2016 di sebuah hospital di Turin sebelum dibawa pulang ke Ostana.
Untuk rekod, sepanjang tahun, Ostana hanya dihuni separuh daripada jumlah penduduknya. Stesen antarabangsa BBC melaporkan, pelbagai cara dilakukan pemerintah setempat untuk menambah jumlah populasi.
Antaranya dengan mencipta pelbagai pekerjaan baharu kerana kekurangan pekerjaan menjadi penyebab utama jumlah penduduk kota itu susut. Sebahagian besar pergi ke daerah lain atau ke luar negeri untuk cari kerja.
Bahkan, ibu bapa Pablo, Silvia dan Jose, juga pernah berhasrat untuk pergi ke luar negara tetapi, membatalkan niat itu setelah ditawarkan pekerjaan untuk mengelola sebuah peninggalan kuno di puncak sebuah gunung.
Ostana adalah satu daripada banyak kota kecil dan desa Itali yang mengalami penurunan jumlah penduduk kerana trend belia lebih suka memilih untuk berpindah ke kota besar demi mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan.
Kepupusan penduduk ini membuatkan masa depan desa-desa indah di pergunungan Itali terancam. Tahun lalu, dilancarkan kempen selamatkan Civita di Bagnoregio, sebuah desa indah di puncak gunung yang diancam hakisan.
Desa itu dahulunya pernah dihuni lebih 3,000 orang namun kini, penduduknya kurang daripada sedozen orang, meskipun 600,000 pelancong luar teruja mengunjungi desa ini setiap tahun. – Agensi