4,500 Jenis Ubi Kentang Akan Diuji Tanam Di Planet Marikh


LIMA - Sebanyak 4,500 jenis ubi kentang akan menjalani ujian bagi menentukan sama ada tanaman itu boleh tumbuh di planet Marikh.

Eksperimen perintis itu sedang dijalankan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) dengan kerjasama Pusat Ubi Kentang Antarabangsa Peru (CIP).

Kesemua jenis ubi kentang yang dipilih datang daripada zon ekologi berbeza dan mampu bertahan dengan perubahan iklim secara tiba-tiba.

Astrobiologist Nasa, Julio Valdivia Silva berkata, ubi kentang yang lulus ujian itu perlu memenuhi kriteria akhir iaitu bukan sahaja mampu tumbuh dengan baik di planet tersebut tetapi boleh dihasilkan semula dalam kuantiti besar.


"Kami hampir 100 peratus pasti bahawa banyak kentang yang dipilih akan lulus ujian disediakan," katanya.

Difahamkan, penyelidikan berkenaan diharap dapat membantu masalah kekurangan makanan, mengurangkan kadar kemiskinan serta mencapai keselamatan makanan pada masa akan datang.  - AFP