5 Suspek Pecah Rumah Termasuk Wanita Diberkas Di Kulim

Abdullah (dua, kanan) pada sidang media dan antara bahan kes yang berjaya dirampas.
KULIM - Polis berjaya menahan lima suspek pecah rumah di kawasan perumahan Jalan Bukit Kulim, di sini yang melibatkan kerugian RM200,000 dalam tempoh lapan hari.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, lima suspek warga tempatan termasuk seorang perempuan berusia 24 tahun berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Lunas dan Kulim pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terlibat dalam kegiatan curi kenderaan, samun dan dadah.

“Kereta jenis Honda juga berjaya ditemui bersama suspek di Taman Kijang, Lunas. Kita juga berjaya merampas beberapa telefon bimbit, jam tangan, dadah jenis heroin seberat 0.06 kilogram dan syabu seberat 2.71 gram.

“Hasil pemeriksaan, tiga daripada suspek termasuk seorang perempuan turut positif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, kelmarin.

Abdullah berkata, kesemua suspek direman dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan rumah mangsa, Nur Yanti Emyliana Mohd Fairuz Chai, 25, dipecah masuk menyebabkan dia kerugian RM200,000.

Ketika kejadian, Nur Yanti keluar rumah sejak 22 Januari bersama keluarganya atas urusan di Kuala Lumpur sebelum dimaklumkan polis berhubung kejadian berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 24 Januari lalu.

Sumber: Sinar Harian