Fazuana menunjukkan tiub digunakan Dhia. |
ALOR SETAR - Keadaan adik Dhia Aisyah Mohd Faizal, tiga bulan, dari Kuala Kangkung, di sini, yang menderita tujuh penyakit makin sihat selepas menjalani pembedahan pada 26 Januari lalu.
Ibunya, Fazuana Hoda, 33, berkata, anak perempuannya dimasukkan ke hospital selepas dia mengalami muntah-muntah dan perut kembung selepas minum susu.
“Melalui pemeriksaan, doktor maklumkan usus Dhia tersumbat, sebelum satu pembedahan kecil dibuat untuk baiki saluran usus berkenaan.
“Kami bersyukur Dhia tunjukkan perkembangan positif. Dia sekarang makin ceria dan mahu minum susu lebih kerap," katanya.
Namun pun begitu, Fazuana berkata, Dhia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semula demi memantau keadaan dia di hospital pada 15 dan 22 Februari ini.
Disebabkan itu, katanya, suaminya, Mohd Faizal Ahmad, 37, masih tidak dapat bekerja sejak tiga bulan lalu untuk membantu dia menguruskan Dhia dan menghantar mereka ke hospital.
“Setakat ini, Alhamdullilah rezeki Dhia murah sebab ada saja orang datang melawat dan bagi sumbangan," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga memerlukan kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk Dhia.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penderitaan Dhia yang memiliki kecacatan kaki, tiada dubur, usus dan pundi kencing berada di luar dan ginjalnya bengkak.
Bersimpati dengan nasib Dhia, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memberi bantuan sara hidup bernilai RM1,500 demi meringankan beban keluarga itu.
Bagi mereka berhasrat membantu meringankan derita Dhia boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank ibunya, Fazuana (152077465557).
Sumber: Sinar Harian