AKHIRNYA, kanak-kanak lelaki Aghanistan yang memakai baju beg plastik ala-ala Lionel Messi, berjaya memiliki jersi asal yang dihadiahkan oleh bintang bola sepak Argentina itu sendiri.
Memetik laporan CNN, Murtaza Ahmadi yang jadi popular apabila rakaman gambarnya memakai ‘jersi’ Argentina buatan beg plastik viral di media sosial, telah pun menerima dua pasang jersi eksklusif ditandatangani oleh Messi.
Laporan agensi berita asing tersebut turut menyebut Murtaza menerima hadiah baju bola sepak berkenaan yang diserahkan oleh petugas UNICEF kepada bapanya, Arif Ahmadi.
Menurut Arif, itu adalah saat paling bahagia untuk anaknya.
Murtaza bagaimanapun sedih kerana Messi sendiri tidak boleh hadir ke majlis penyerahan jersi tersebut.
Kanak-kanak itu begitu seronok apabila memakai jersi Argentina bernombor 10 berkenaan dan hanya bermain bola sepak sejak hadiah tersebut tiba.
Murtaza berasal dari wilayah Ghazni dan dikatakan “peminat Messi yang paling tegar”.
Pada bulan lepas, Murtaza menjadi popular di seluruh dunia apabila rakaman gambarnya bermain bola sepak disebar di internet khususnya laman sosial.
Abangnya, Homayoun adalah orang yang bertanggung jawab menghasilkan jersi plastik itu untuk adiknya dan juga dialah yang memuat naik gambar Murtaza tersebut. –Kedahnews.com