Adun DAP Hilang RM20,000 Tunai, Tingkat Kereta Kena Pecah

Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim
KUALA SELANGOR - Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa beliau kerugian RM20,000 selepas wang tunai yang diletak dalam keretanya hilang dalam kejadian cermin keretanya dipecahkan.

Ng, 45, yang merupakan anggota politik DAP berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam selepas beliau meletakkan keretanya di kawasan tempat letak kereta yang terletak di seberang jalan berhadapan sebuah bank di pekan lama Kuala Selangor.

"Setelah kembali semula ke kenderaan saya selepas 10 minit kemudian, saya terkejut apabila mendapati cermin bahagian hadapan kereta jenis Mazda CX5 saya dipecahkan.

"Saya kemudian mendapati sebuah sampul surat bersaiz A4 berisi wang tunai RM20,000 yang diletakkan dalam kereta tersebut dilarikan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata wang tersebut sepatutnya digunakan sebagai bayaran bonus serta 'ang pow' bagi kakitangannya sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor mengesahkan menerima laporan daripada Ng berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - BERNAMA