Amyra Rosli |
SELEPAS wajahnya laku di kaca tv sebagai seorang pelakon, Amyra Rosli kini melebarkan sayapnya sebagai seorang pengacara apabila namanya dipilih menjadi hos program nyanyian Bintang RTM 2016.
Menurut aktres cantik ini, dia amat bersyukur dan merasa bertuah apabila mendapat peluang tersebut dan menganggap ini adalah satu lagi platform baginya untuk menceburi cabang seni lain selain dari lakonan.
“Alhamdulillah, impian Amyra untuk menjadi pengacara sedikit demi sedikit terbuka. Amyra sebelum ini pernah jadi co-host sahaja dan untuk jadi pengacara yang utama, inilah kali pertama.
“Siaran langsung di kaca TV pula. Jadi syukur sangat-sangat kerana impian telah tercapai. Pemilihan Amyra kerana apa yang Myra diberitahu, ada sistem undian iaitu siapakah pengacara yang mereka mahukan.
“Dan nama Myra dipilih. Alhamdulillah, Myra terima dan terima kasih kerana diberi kepercayaan ini untuk mengendalikan program besar ini,” katanya yang dipetik Media Hiburan.
Dalam program itu nanti, Amyra bergandingan dengan juruhebah terkenal stesen radio Nasional FM, Muaz Muhamed yang turut berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan.
Bagi memahirkan dirinya dalam bidang hosting, Amyra banyak menonton video-video pengacara-pengacara hebat sebelum ini serta sering berlatih di hadapan cermin bagi memantapkan penghayatan sebagai seorang hos.
“Amyra memang banyak buat latihan. Rakam program TV dan tengok semula cara pengacara tersebut seperti Datuk Aznil Nawawi. Selepas itu, saya akan berlatih pula depan cermin,” katanya lagi.
Bintang RTM 2016 mula bersiaran sejak 30 Januari lalu, pada jam 9 malam yang dipancarkan secara langsung menerusi stesen TV2. –Kedahnews.com