Anugerah Penghormatan Kepada Kaum Minoriti - Boon Som

Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang, Senator Datuk Seri Boon Som Inong
KUALA LUMPUR - Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang, Senator Datuk Seri Boon Som Inong menyifatkan anugerah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang dianugerahkan kepadanya semalam merupakan satu penghormatan kerajaan kepada kaum minoriti negara ini.

Boon Som berkata anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi yang pernah diterima oleh masyarakat Siam di negara ini.

"Saya akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh masyarakat, termasuk komuniti yang saya wakili, terutama bagi memupuk perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan semalam.

Boon Som, 55, antara penerima anugerah dan pingat bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Balairung Seri, Istana Negara, semalam.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama mendahului senarai 322 penerima pingat dan darjah kebesaran itu.

Semalam, seramai 131 penerima menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan, dan selebihnya akan menerima anugerah masing-masing Rabu ini.

Boon Som pernah bertugas sebagai Pegawai Khas dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah pada 2003 hingga 2008 dengan tanggungjawab memantau hal ehwal masyarakat Siam di Kedah.

Beliau dilantik sebagai Anggota Dewan Negara Mewakili Masyarakat Siam sejak 2010 dan Anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional mulai 2013.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai wartawan agensi berita antarabangsa, Kuwait National News Agency dan Islamic Republic of Iran National News Agency, sebelum dilantik menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya pada 2008 hingga 2009.

Beliau juga aktif memimpin dan menggerakkan pertubuhan masyarakat Siam iaitu Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah dan Penasihat kepada Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Daerah Pendang serta pengasas dan Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia dan Penasihat kepada Persatuan Pelabur Taipei Malaysia (TIAM), cawangan Kedah. - BERNAMA