Anzalna Sah Sudah Jadi Milik Mohamad Hanif Pagi Tadi


KUALA KUMPUR - Pelakon Anzalna Nasir bergelar isteri kepada ahli perniagaan Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Majlis pernikahan tersebut diadakan secara sederhana dengan dihadiri saudara dan rakan-rakan terdekat di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, pada Ahad.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Anzalna iaitu Prof Madya Dr Mohd Nasir Ibrahim dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan Cerai Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Abdul Nasir Abdullah.

Anzalna, 28, menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan menyerahkan sebanyak sembilan dulang hantaran.

Anzalna ketika sedang menunggu upacara akad nikah berlangsung.
Antara barangan hantaran daripada pihak Anzalna ialah barangan elektronik, jam tangan, coklat, kek, pewangi, sirih junjung, set persalinan, cincin dan sejadah.

Manakala, pengantin lelaki membalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu beg tangan, tepak sirih, telefon bimbit, cincin, set telekung, wang hantaran dan gelang tangan.

Majlis perkahwinan tersebut disiarkan secara langsung dan eksklusif di stesen televisyen TV3.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan pada 27 Februari ini di Hotel Grand Hyatt.