"Aura" Al-Barakah, Mampu Tarik Minat Pelancong Ziarah Perak


IPOH – Pelik tapi benar. Pusat Pendidikan Al Barakah yang terletak di Manjoi di sini tidak termasuk dalam peta pelancongan negeri secara rasmi namun ia diakui sebagai penyumbang kepada kemasukan pelancong ke Perak.

Pelancong yang berkunjung ke pusat ini sebenarnya teruja dengan keupayaan pengasas pusat ini iaitu Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias yang secara solo berjaya membangunkan pusat ini dengan tanpa bantuan dana kerajaan.

Jika kita berada di pusat ilmu ini lebih-lebih lagi pada hujung minggu tentu kita mendapati deretan bas dari luar negeri Perak membawa ramai pengunjung. Begitulah pemandangan lazim setiap minggu sepanjang tahun.

Bagi yang bernasib baik jika ditakdirkan tidak ada aktiviti lain, Ustaz Kazim berada di pusat itu sambut kehadiran mereka. Beberapa majlis penerangan mengenai aktiviti dan konsep pendidikan dilakukan oleh ustaz sendiri.

Sebenarnya pusat Al Barakah sudah lama menjadi gamitan pelancong luar dan dalam. Terdapat juga masyarakat bukan Muslim berkunjung untuk mengetahui dan pada masa sama mempelajari lebih lanjut mengenai pusat ini.

Sejak bergelar pendakwah bebas, Ustaz Kazim berjaya menaikkan nama Al Barakah. Popularitinya berjaya menarik ramai orang sama ada mengikuti pengajian, sekadar datang “berkunjung dan bergambar dengan beliau.”

Menurut laporan portal berita AgendaDaily, Ustaz Kazim sendiri malah tidak mengelakkan dirinya daripada memenuhi permintaan ramai peminatnya untuk bergambar kenang-kenangan atau berselfie dengannya.

”Orangnya tak sombong… masih muda dan kacak pulak. Pusat ini mempunyai kaedah pendidikan yang jauh lebih baik daripada beberapa sekolah swasta agama di negara ini,” kata seorang pengunjung dari Utara yang ditemui.


Tentulah yang beliau maksudkan ialah pengasas pusat ini kalau bukan Ustaz Kazim sendiri. Sekadar rekod, beliau lahir di Kampung Paya, Batu Kurau, Selama, Perak pada 28 November 1972 daripada sebuah keluarga miskin.

Ada 9 adik beradik, beliau anak ke-7. Bapanya, Elias Che Mat, manakala ibunya, Nazirah Ismail ialah guru agama di sekolah di Batu Kurau. Ustaz Kazim menjadi yatim apabila bapanya meninggal dunia semasa berusia 8 bulan.

Pada 1995, beliau membuka kelas pengajian di sebuah rumah kedai di Jalan Maxwell, Ipoh dan buat keputusan memindahkan operasi ke rumah kedai dua tingkat di Silibin kerana mendapati tempat lama sesak dengan pelajar.

Pada 2004 kebetulan melalui satu acara lelongan awam, beliau berjaya membeli sebidang tanah dengan harga RM45,000 bagi tujuan pembinaan pusat pendidikan yang terletak di Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi.

Maka bermulalah secara rasmi bangunan Pusat Pendidikan Al Barakah yang pertama. Untuk rekod, pusat ini dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Besar Perak terdahulu, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada 2006 lalu.


Bagi warga pusat ini, tarikh 4 Februari 2016 amat bersejarah apabila dikunjungi Menteri Besar ke-11, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Untuk rekod, Zambry adalah orang yang bertanggungjawab mempopularkan Ustaz Kazim apabila menjadikan dewan besar di kediaman rasmi Menteri Besar sebagai tempat ceramah agamanya secara berkala sejak 2009.

Secara kebetulan ketika itu, Ustaz Kazim dilaporkan ‘membawa diri’ selepas disingkirkan PAS, parti seumur hidup yang disertai beliau sendiri gara-gara pendiriannya menyokong pembentukan kerajaan perpaduan UMNO-PAS.

Sebenarnya populariti Ustaz Kazim sudah lama bermula seawal tahun 2000 apabila beliau sering dijemput untuk jadi penceramah dalam slot agama stesen radio tempatan, Perak FM sebelum meluas lagi ke negeri jirannya pula.

Dalam ucapan ringkas sebagai mengulas permintaan Ustaz Kazim, Zambry berkata pihak kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan besar menjadikan Pusat Pendidikan Al Barakah sebagai maahad tahfiz berasrama penuh.


Bagi tujuan itu Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan melihat segala aspek berhubung cadangan tawaran berkenaan secara positif.

Katanya, langkah untuk menjadikan pusat itu sebagai maahad tahfiz berasrama penuh adalah selaras dengan matlamat kerajaan Perak untuk mewujudkan maahad tahfiz berasrama penuh di setiap daerah di seluruh negeri.

Kerajaan negeri telah memulakan pembinaan maahad tahfiz ini di beberapa daerah termasuklah di Manjung yang sudah siap, di Tapah yang kini dalam proses pembinaan dan Lenggong yang akan dimulakan pembinaannya.

Zambry juga berkata bahawa Pusat Pendidikan Al Barakah telah menjadi sebagai pusat pelancongan Islam di negeri Perak berikutan peningkatan jumlah kedatangan pelancong luar atau pun domestik ke negeri Perak.

Ia direkodkan dalam tempoh dua tahun berturut-turut. Tahun lalu Perak berjaya mencatatkan kedatangan sebanyak 6.3 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya sebanyak 6.1 juta pelancong sahaja.

Beliau percaya sebahagian besar daripada kedatangan pelancong itu disumbangkan melalui Al Barakah dan ini termasuk mereka yang datang terus ke kediaman Menteri Besar melalui program ceramah anjuran Ustaz Kazim.

Dalam lawatan rasmi tersebut juga, Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 daripada pihak kerajaan negeri kepada Pusat Pendidikan Al Barakah. – Agensi