Awas Kempen Bohong Pungut Derma RM300,000 Di Facebook


KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak pernah membuat permohonan derma sebanyak RM300,000 untuk merawat seorang pesakit kanak-kanak di laman Facebook.

Ketua Jabatan Perhubungan Awamnya, Harun Bintang berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut.

“Pusat Perubatan UKM menemui satu `posting’ dalam laman Facebook yang membuat permohonan untuk memungut derma daripada orang ramai bagi menanggun kos rawatan pesakit kanak-kanak yang mengidap penyakit kanser di Hospital canselor Tuanku Muhriz.

“Semua maklumat yang dipaparkan di laman Facebook tersebut adalah palsu dan melibatkan nombor milik pesakit lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang pembayaran derma ke atas nombor akaun bank yang tertera di laman Facebook tersebut. –Kedahnews.com