Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Dirombak Malam Tadi


ALOR SETAR - Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dijangka bakal mengumumkan rombakan dalam tempoh terdekat membabitkan beberapa pemimpin bagi memperkukuh jentera parti di negeri berkenaan.

Difahamkan bahawa jawatan yang dijangka bakal mengalami perubahan ialah Setiausaha Badan Perhubungan Negeri, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Negeri dan Ketua Penerangan Negeri.

Menurut sumber tidak rasmi, Kedahnews.com dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri yang sebelum ini disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Paduka Md Rozai Sapian dikatakan telah dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, menggantikan posisi yang sebelum ini dijawat oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Abdul Aziz.

Kami turut difahamkan bahawa jawatan Setiausaha Kerja Badan Perhubungan, mesyuarat berkenaan turut memutuskan untuk melantik pemimpin berpengalaman, Datuk Nasir Murad, ke jawatan tersebut menggantikan Naib Ketua UMNO Bahagia Pokok Sena, Haris Che Mat.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dikatakan kekal sebagai Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Badan Perhubungan UMNO Negeri itu buat pertama kali bersidang selepas peralihan kuasa bagi jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Negeri parti itu berlangsung semalam dengan dihadiri oleh majoriti Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Sayap dan Timbalan-Timbalan Ketua Sayap dari seluruh 15 UMNO Bahagian di negeri Kedah.


Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah juga buat pertama kali mempengerusikan mesyuarat berkenaan sejak kali terakhir mempengerusikannya sebelum Pilihan Raya (PRU-13) pada 2013.

Setelah mengepalai dan membawa Barisan Nasional merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri dari PAS pada 2013, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengambil alih jawatan tersebut dari Ahmad Bashah, atas lantikan dari Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap yang juga merupakan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, setelah Ahmad Bashah dilantik semula ke jawatan berkenaan, baru-baru ini.

Ahmad Bashah dijangka bakal mengumumkan rombakan Badan Perhubungan UMNO Negeri itu pada mesyuarat akan datang yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat. -Kedahnews.com