Baitulmal Perlu Lebih Proaktif Seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq

BAITULMAL ertinya per­bendaharaan atau tempat sim­panan wang hasil ku­tipan zakat daripada umat Islam. Zakat adalah salah satu rukun Islam yang tidak boleh dinafikan oleh umat Islam. Setiap umat Islam yang mempunyai kekayaan, wajib membayar zakat kerana ini adalah salah satu cara untuk menyelesaikan permasalahan kemiskinan dalam kalangan umat Islam.

Setelah Rasulullah SAW wafat, kumpulan murtad yang diketuai Musaylamah al-Kazzab menyebarkan propaganda bahawa zakat tidak wajib. Sikap dan tindakan Musaylamah dan kumpulannya menyebabkan Sayidina Abu Bakar yang adalah pemimpin umat Islam ketika itu mengisytiharkan peperangan terhadap kumpulan tersebut.

Sebelum Sayidina Abu Bakar menyerang kumpulan berkenaan, Sayidina Umar al-Khattab menegur beliau dengan katanya bahawa Rasulullah SAW tidak membunuh orang murtad.

Abu Bakar me­negaskan bahawa beliau menyerang Musaylamah bukan disebabkan murtad tetapi propagandanya mempengaruhi umat Islam menghapuskan zakat adalah kegiatan yang boleh menggugurkan salah satu rukun Islam dan memberi kesan yang paling buruk terhadap struktur kemasyarakatan Islam di mana orang miskin akan mende­rita tanpa pembelaan.

Setelah mendapat penjelasan tersebut Saidina Umar bersetuju dengan keputusan Sayidina Abu Bakar.

Para pemimpin negara Islam sejak pemerintahan Khulafa’ al-Rashidun sehingga terbinanya empayar Islam yang agung amat prihatin terhadap penderitaan rakyat. Pelbagai kegiatan dilakukan untuk menjamin keperluan asas rakyat dipenuhi.

Sistem pengutipan zakat dipertingkatkan oleh umat Islam sehingga terbentuknya Baitulmal yang adalah perbendaharaan negara yang mampu membangun negara dan menjana kewangan kepada rakyat yang miskin.

Baitulmal diperkembangkan sebagai institusi kewangan dalam negara Islam. Khalifah Umar al-Khattab memulakan penubuhan Baitulmal secara mantap dengan persetujuan para sahabat Rasulul­lah SAW. Beliau menubuhkan pusat perbendaharaan ini di Madinah.

Baitulmal yang berasaskan kepada kutipan zakat dan cukai diperkembangkan lagi oleh pe­mimpin Islam selepas beliau sebagai institusi kewangan negara yang mantap dan kukuh. Konsep dan peranan Baitulmal sebagai ins­titusi kewangan dan perbendaharaan negara yang prihatin terhadap ke­perluan rakyat, orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya menjadikan negara Islam sebagai negara kebajikan.


Berdasarkan penjelasan tersebut maka Baitulmal yang ditubuhkan dalam Malaysia sepatutnya memperkembangkan konsep dan pe­ranannya sebagai sumber kewang­an bagi umat Islam yang miskin dan golongan yang memerlukan bantuan walaupun kegiatan tersebut adalah agenda negara keseluruhannya.

Baitulmal yang mendapat dana hasil daripada kutipan zakat umat Islam dalam negara ini sepatutnya mempelbagaikan kegiatan yang berbentuk bantuan kewangan kepada umat Islam seperti me­nubuhkan agensi pinjaman peribadi sepertimana dilakukan oleh bank dan agensi pinjaman peribadi lain.

Pegawai yang mempunyai kepakaran dalam soal kewangan dan pinjaman sepatutnya dilantik untuk mengendalikan kegiatan ini kerana kurang kepakaran dan pengalaman dalam urusan kewangan menyebabkan program dan kegiatan yang dilaksanakan itu gagal untuk mencapai objektif penubuhan Baitulmal.

Baitulmal sepatutnya lebih peka terhadap permasalahan masyarakat Islam yang miskin dan memerlukan bantuan kewangan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga keperluan hidup seharian semakin tinggi.

Konsep dan peranan Baitulmal perlu dikaji secara terperinci supaya individu yang layak menerima zakat tidak ketinggalan untuk mendapat bantuan daripada perbendaharaan ini. Individu yang terdesak dengan permasalahan wang sering terdorong untuk membuat pinjaman wang daripada agensi-agensi yang diharamkan oleh Islam jika permohonan mereka melalui bank dan agensi pinjaman peribadi yang diiktirafkan oleh Islam menolak permohonan mereka.

Dalam keadaan terdesak dan kebuntuan pemikiran mereka akan terperangkap dengan agensi pinjaman wang haram seperti along. Tinjauan penulis terhadap agensi pinjaman wang haram ini secara rambang menunjukkan ramai umat Islam masih menggunakan agensi ini untuk mendapat wang bagi mengatasi masalah kesulitan hidup.

Persoalannya, dengan sumber kewangan yang begitu banyak disumbangkan oleh umat Islam kepada Baitulmal untuk membantu umat Islam yang mempunyai kesempitan hidup seperti mendapat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan permasalahan hidup adakah mereka tidak layak untuk menerimanya?

Sedangkan dalam Islam, umat Islam yang terdesak untuk membayar hutang berhak mendapat bantuan zakat bagi menyelesaikan masalah hutang.

Dalam konteks masa kini penubuhan skim pinjaman peribadi amat perlu diperkenalkan Baitulmal bagi mengelak umat Islam terjebak dengan skim pinjaman haram yang diharamkan oleh Islam.

Sistem pinjaman yang ingin diperkenalkan itu tidak sepatutnya sama dengan bank dan agensi pinjaman peribadi lain kerana skim pinjaman yang diperkenalkan oleh agensi-agensi tersebut lebih mementingkan keuntungan bukan bantuan atau kebajikan.


Sedangkan konsep pinjaman Baitulmal lebih menumpukan kepada kebajikan dan bantuan. Jika tidak wujud agensi pinjaman berbentuk kebajikan dan bantuan maka semakin ramai umat Islam yang terdesak dalam kehidupan akan terjebak dengan skim pinjaman haram.

Jika Baitulmal mampu menubuhkan skim pinjaman kebajikan secara berkesan dan komprehensif maka umat Islam yang miskin dan terdesak dapat merasai Baitulmal adalah tempat yang paling baik untuk mereka membebaskan diri daripada kesempitan hidup. Skim pinjaman peribadi yang diperkenalkan perlu berdasarkan kepada kategori peminjam.

Golongan yang kurang berkemampuan membuat pinjaman memulangkan wang mengikut kadar wang dipinjamkan kepada mereka. Bagi golongan yang meminjam wang untuk urusan perniagaan secara kecil-kecilan wang yang dipulangkan itu perlu disertai dengan zakat hasil perniagaan mereka.

Surat perjanjian pinjaman perlu disertai ketika membuat pinjaman supaya umat Islam tidak cuai dalam urusan membayar hutang.

Jika skim pinjaman ini ditubuhkan maka Baitulmal juga dapat menambahkan sumber dana hasil daripada sumbangan zakat daripada peniaga Islam yang meminjam daripada institusi tersebut. Ini adalah satu cara dapat membendung umat Islam terjebak dengan agensi peminjam haram yang semakin berleluasa masa kini terutama ketika ekonomi negara tidak menentu.

Individu-individu yang bertugas dengan Baitulmal perlu proaktif melaksanakan tugas mereka secara berhemah dan dedikasi supaya peranan Baitulmal dapat memenuhi konsep dan peranannya sebagai institusi kebajikan umat Islam sepertimana dituntut oleh Islam.

*Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan