Bapa Dato Fazley, Datuk Yaakob Mohammad Kembali Ke Rahmatullah

TAKZIAH diucapkan buat Dato Fazley Yaakob dan keluarga di atas pemergian bapa beliau, Datuk Yaakob Mohammad, yang telah meninggal dunia, awal pagi semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Damansara akibat penyakit komplikasi paru-paru.

Perkongsian berita sedih itu disampaikan sendiri selebriti chef terkenal itu menerusi laman Instagram miliknya.

“Terima kasih buat semua ahli keluarga jauh dan dekat, rakan taulan lama dan baharu, serta mereka yang pernah dan masih mengenali arwah ayahanda saya selama ini.

“Mohon maaf jika ada salah dan silap beliau, sekiranya ada terkasar bahasa dan perbuatan selama tempoh anda pernah bersama beliau, mohon dihalalkan makan minum beliau juga. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh beliau,” tulis pemilik kafe Suka Sucre Bistro itu.

Difahamkan jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur sebaik selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar. –Kedahnews.com