Abdullah (tengah) sedang melihat hasil rampasan pelbagai komponen bas dalam kes pecah kilang bernilai RM300,000. |
KULIM - Sebanyak 30 barang termasuk komponen bas dan dua kenderaan bernilai RM300,000 yang hilang berjaya ditemui semula setelah pihak polis memberkas lapan suspek di Perak dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Abdullah Arshad berkata, pada 28 Januari lalu, pemilik kilang pemasangan bas untuk pasaran Australia telah membuat laporan polis kilangnya di Lorong Perusahaan 4 Kawasan Perindustrian Kulim dipecah masuk enam lelaki.
"Penjenayah pecah masuk kilang itu selama lapan hari sejak 19 Januari lalu dan kerugian keseluruhan dianggarkan RM3 juta.
“Suspek dipercayai masuk ke bahagian dalam kilang di tempat pemasangan bas dan melarikan komponen berharga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, kelmarin.
Abdullah berkata, hasil tangkapan ke atas suspek terlibat, pihak polis berjaya merampas semula barang yang dicuri termasuk sebuah lori muatan tiga tan, sebuah Perodua Viva dan telefon bimbit.
"Lapan suspek berusia antara 36 hingga 51 tahun direman selama empat hari bermula tarikh tangkapan pada 30 Januari lalu.
“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian