Pelajar terpaksa menaiki lori untuk menunaikan solat Jumaat. |
MADRASAH Taqribul Ikhwan Fi Futuhir Rahman terletak di tengah hutan di Bukit Beirut, Mengkuang, Baling, mula beroperasi pada November 2012 dan masih di dalam proses pembinaan, namun begitu jumlah pelajarnya kini sudah mencecah 300 orang.
Apa yang menarik, madrasah ini terletak dua kilometer dari jalan raya dan dikelilingi hutan dan bukit bukau. Suasananya yang menghijau mampu memikat hati sesiapa sahaja bertandang.
Namun di sebalik pandangan ini, tersimpul seribu satu kesukaran kesemua penghuninya dalam meneruskan legasi ilmu.
Pengerusi madrasah, Md Rashid Yaakob, 61, yang berasal dari Kampung Gajah Putih, Sik berkata, pada awal penubuhan, hanya terdapat 40 pelajar sahaja namun kini menjangkau jumlah ratusan pelajar.
“Rata-rata pelajar datang dari Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Melaka, Sabah, Sarawak termasuk luar negara seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam,” katanya ketika ditemui di madrasah berkenaan.
Misteri tapak surau bersih tanpa semak
Md Rashid yang lebih mesra dipanggil Pak Ngah berkata, sejarah penubuhan madrasah ini bermula apabila tanah seluas 13.75 hektar diwakafkan oleh seseorang.
“Tuan tanah nak tanah yang dia wakafkan dijadikan medan ilmu, jadi Pak Ngah dan beberapa rakan melawat tapak dan bermesyuarat untuk membina madrasah ini.
“Apabila kata sepakat diambil, pada awal 2011, kami pun bergotong-royong menebang pokok dan semak samun, namun terpaksa hentikan operasi atas sebab tertentu,” katanya.
Selepas agak lama meninggalkan tanah ini, Pak Ngah kembali seorang diri. Kelihatan semak samun yang mereka bersihkan sebelum ini tumbuh kembali mungkin kerana terlalu lama ditinggalkan.
Namun apa yang pelik, tapak tempat mereka cadang untuk membina madrasah bersih tanpa rumput, sedangkan tempat itu bersemak-samun sebelumnya.
Selesai melawat tapak, Pak Ngah pulang menceritakan kejadian aneh ini kepada seorang ustaz, dan Pak Ngah dinasihatkan secepat mungkin menubuhkan madrasah seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, pada November 2012, kita berjaya memulakan sesi pengajian walaupun madrasah ini belum siap sepenuhnya.
"Di sini kami sediakan segala keperluan percuma, makan minum pelajar juga ditanggung sepenuhnya oleh kami dengan menggunakan dana yang diperoleh saban hari melalui sumbangan orang ramai,” katanya.
Jadi 'kilang' keluarkan ulama
Pak Ngah berkata, madrasah ini juga berfungsi sebagai 'kilang' untuk mengeluarkan ulama selain membanteras masalah sosial.
“Ada beberapa pelajar yang dulu bekas penagih dadah, tapi berjaya ubah diri setelah belajar di sini.
“Pak Ngah selalu nasihatkan anak-anak bahawa pokok kepada kehidupan adalah solat. Kalau nak berubah jadi lebih baik, maka peliharalah solat terlebih dahulu.
"Ada pelajar yang terlibat masalah sosial sampai ayah depa terpaksa rantai kaki, tapi bila dibawa ke sini depa berubah jadi yang terbaik. Alhamdulillah mereka tak ada cuba nak larikan diri walaupun di sini tak ada pagar yang boleh menghalang," katanya.
Tambahnya, pelajar juga boleh melakukan apa sahaja kegiatan yang mereka suka termasuk aktiviti bertinju, tomoi, silat, bermain bola dan sebagainya kerana fokus mereka untuk membentuk mereka menjadi manusia berilmu di dunia dan akhirat.
Katanya, buat masa ini mereka tidak berhadapan dengan masalah penginapan melainkan kenderaan.
“Buat masa ini kami hanya gunakan lori untuk ulang alik ambil pelajar di masjid.
"Dewan makan yang serba kekurangan juga memaksa mereka makan di merata tempat berlantaikan tanah,” katanya.
Sanggup berhenti kerja nak belajar pondok
Sementara itu, pelajar dari Kemboja, Tirmyzy Mohammad, 23, berkata dia datang ke Malaysia untuk menimba ilmu agama sebanyak mungkin dan tidak kisah dengan kesusahan yang dilalui.
"Bagi saya lebih senang menuntut di sini sebab banyak pandangan menghijau yang mendamaikan. Dan saya paling suka bila dapat makan dalam talam ramai-ramai," katanya.
Pelajar tertua, Abdul Ghani Bakar, 63, pula berpendapat madrasah ini paling sesuai untuknya menyediakan bekalan kehidupan akhirat.
"Saya berhenti kerja pada usia 50 tahun dan balik menetap di kampung. Sepanjang di kampung saya belajar agama sampailah saya ambil keputusan nak tinggal di pondok,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang matlamat jangka panjang madrasah ini, Pak Ngah berkata dia akan mewujudkan madrasah ala vokasional, di mana pelajar dapat mengusai ilmu kemahiran seperti elektrikal dan pertukangan rumah, di samping menguasai ilmu agama.
Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Pak Ngah di talian 019- 6353101 atau menerusi akaun Maybank atas nama Madrasah Taqribul Ikhwan Fi Futurhirrahman (552040103994).
Sumber: Sinar Harian