Bomba Masih Terus Padam Kebakaran Di Batu Caves


KUALA LUMPUR – Pasukan Bomba dan Penyelamat masih meneruskan usaha memadam kebakaran bukit batu kapur, Kampung Sri Gombak dekat Batu Caves sejak kelmarin.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata operasi itu mungkin berterusan sehingga esok kerana faktor ketinggian dan risiko batu kapur terjatuh, boleh membahayakan anggota bomba.

“Terdapat api di tiga kawasan berkeluasan setengah ekar di puncak bukit yang masih belum dipadamkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya setakat ini seramai 70 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Gombak dan Wangsa Maju dikerahkan di lokasi bersama tiga jentera bagi operasi pemadaman dan pemantauan.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada keperluan memindahkan penduduk Kampung Sri Gombak iaitu penempatan terdekat dengan kawasan kebakaran itu.

Semalam, kawasan hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves terbakar melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar, dipercayai berpunca daripada perbuatan pembakaran sampah secara terbuka. – BERNAMA