Bonus Tahunan 5% Dan Tambahan Bonus 3% - Tabung Haji


KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2015, merangkumi 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus, kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Fardhu Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.236 bilion berbanding RM3.237 bilion pada 2014.

Jumlah ini akan dimanfaatkan oleh hampir 8.85 juta akaun pendeposit TH yang aktif.

“Keuntungan bersih selepas zakat TH mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada 2014 atau peningkatan sebanyak 19 peratus.

“Ia adalah pendapatan dan keuntungan tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan TH di sini hari ini. – BERNAMA