"Bukan Duit Bapak Ko Beli...", Guru Dapat Nota "Marah" Sebab Conteng Iqra'

TERSEBAR menerusi laman sosial sekeping gambar dimuat naik oleh seorang wanita yang dipercayai bertugas sebagai guru, berkaitan sekeping nota yang dilekatkan di atas buku Iqra’.

Di atas nota berkenaan tertulis amaran yang menyatakan supaya guru terbabit tidak menconteng buku Iqra’ tersebut kerana ia dibeli bukan menggunakan hasil duit guru berkenaan.

Jelas nota tersebut lagi, bahawa waris kepada pemilik buku berkenaan tidak berpuas hati akan cara pengajaran oleh guru terbabit.

Gambar nota yang dilekat pada buku Iqra’ berkenaan mula dimuat naik ke akaun Facebook milik seorang penulis, Norhayati Berahim, dan mula viral sejak Khamis.

Tindakan ibu bapa berkenaan nampaknya telah menimbulkan rasa tidak puas hati netizen, khususnya golongan pendidik dan sebahagian ibu bapa.

Rata-rata berpendapat bahawa, ia merupakan sebahagian daripada satu proses pembelajaran yang berkesan.

Contengan guru adalah ibarat "nota bertulis" yang memudahkan untuk difahami murid dan menjadi peringatan supaya kesalahan sama tidak berulang untuk masa hadapan.


Ramai di kalangan ibu bapa yang turut menyuarakan pandangan berkenaan isu terbabit, kebanyakkannya tidak bersetuju dengan tindakan ibu bapa yang mengirimkan nota itu kepada guru Iqraq' terbabit.

Malah ramai yang membandingkan proses pembelajaran dan pengajaran zaman dahulu jauh lebih sempurna, berkesan walaupun berbeza dengan pendekatan hari ini yang lebih memanjakan pelajar.

Ada yang berpandangan bahawa guru mungkin tidak berhak untuk hukum pelajarnya secara melampaui batas dan jika berbuat sedemikian, guru pula yang akan dimarahi oleh ibu bapa pelajar terbabit.

Situasi seperti itu dikatakan bakal "merosakkan" proses pembelajaran kanak-kanak untuk menjadi "manusia" pada masa akan datang. -Kedahnews.com