Bunyi Mendengus-Dengus Kedengaran Dari Bilik Air...

ANGGOTA JPAM menunjukkan ular yang ditangkap.
SIK – Seorang suri rumah nyaris dipatuk seekor ular tedung selar yang tiba-tiba bertindak agresif ketika memasuki bilik air di rumahnya di Kampung Berona Kiri Dalam, Jeniang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi, wanita berkenaan, Khatijah Ibrahim, 36, dikatakan mahu mandi sebelum melihat reptilia terbabit sedang melingkar.

Khatijah berkata, ular tedung selar berkenaan bertindak agresif kerana terkejut dengan kehadirannya menyebabkan dia berlari keluar dan menjerit meminta pertolongan daripada jiran.

“Mujurlah saya ternampak awal kelibat ular tedung selar itu kerana terdengar bunyi dengus yang kuat di penjuru bilik air berkenaan.

“Ini pertama kali saya melihat ular tedung selar sebesar itu dan takut untuk memasuki bilik air kerana trauma seolah-olah ia masih ada di dalamnya. Lagipun jarak antara kami ketika itu hanya dua meter,” katanya.

Katanya, reptilia sepanjang lima meter berkenaan dipercayai memasuki rumahnya melalui lubang bilik air yang tidak tertutup untuk mencari air kerana musim panas.

“Ular tedung selar berkenaan sebelum itu dilihat penduduk menuruni bukit di belakang rumah dan tidak menyangka ia memasuki rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sik Mohd Muhkrij Md Sabir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.30 pagi sebelum lima anggota dihantar ke lokasi untuk menangkap reptilia berkenaan.

Menurutnya, reptilia seberat 10 kilogram berkenaan ditangkap dalam tempoh 10 minit sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Sumber: myMetro