Cemar Minda Orang Sarawak, DAP Guna Budaya Politik Kotor


KUCHING  - Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus mengamalkan budaya politik kotor dengan memutar belit setiap kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Negeri Abdullah Saidol berkata, tindakan DAP Sarawak yang diterajui Pengerusinya Chong Chieng Jen memutar belit kenyataan jelas mempamerkan gaya politiknya yang tidak ikhlas serta sering bertujuan mengelirukan rakyat demi meraih undi.

“Ketua Menteri (Adenan) tidak pernah menyebut seluruh sistem pendidikan negeri kita adalah gagal tetapi beliau secara spesifiknya melahirkan kekecewaan dengan kelemahan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita di Sarawak, terutama graduan lepasan universiti.

“Malah beliau juga telah menyuarakan isu ini kepada Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Bahkan, sudah banyak kali Adenan menjelaskan di negeri (Sarawak) ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi kedua.

“Tambahan orang pertama yang membangkitkan perkara ini adalah Adenan,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abdullah juga mempersoalkan tindakan Chong yang mempersoalkan kejujuran hasrat Adenan untuk memperkasa penggunaan bahasa Inggeris, khususnya dalam kalangan pelajar di negeri ini.

“Setiap kenyataan putar belit yang dikeluarkan Chong jelas mempamer gaya politik kotornya dengan mendakwa Adenan sebagai pemimpin lemah dan sentiasa mengikut telunjuk UMNO, malah cadangannya agar kita keluar daripada Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu yang tidak bijak.

“Saya beranggapan Chong tidak mengikuti segala perkembangan kejayaan yang dicapai Adenan menerusi tuntutan daripada kerajaan persekutuan,” tambahnya.

Dari sudut lain, jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, setiap tindak tanduk Chong hanya menggambarkan kedudukannya dan parti itu yang lemah selain kurang berkeyakinan serta hala tuju politik yang bercelaru.

Selain itu, Abdullah turut mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang memutarbelitkan kenyataan Adenan dalam laman Facebooknya yang berbaur hasutan serta membangkitkan kemarahan masyarakat Cina terhadap Adenan.

“Rakyat Sarawak khususnya masyarakat Cina kini seharusnya sedar dan bersedia untuk menerima hakikat DAP adalah parti politik yang sanggup bertindak ekstrem dan kotor dalam mencapai hajat politik mereka.

“Malah ramai dalam kalangan masyarakat Cina sendiri berasa marah dan jijik dengan tayangan video klip ciptaan DAP yang disebar semasa Tahun Baharu Cina (TBC) kerana mempersendakan pemimpin dan mencemar budaya mereka sendiri.

“Bahkan, kita juga melihat dan membaca kenyataan DAP yang memperkecil dan mengutuk rakan politik mereka sendiri dalam Pakatan sehingga berlaku perpecahan antara mereka.

“Ini membuktikan DAP adalah sebuah parti yang tamak, bongkak dan mengamalkan kepimpinan yang mementingkan diri sendiri,” katanya sambil menambah, rakyat Sarawak harus mengambil iktibar dengan cara kepimpinan DAP yang mentadbir Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menterinya yang bersifat ‘diktator’.

Dalam hal berkaitan, kata Abdullah DAP juga sanggup menamatkan perkhidmatan beberapa ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) daripada agensi kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau menegaskan, rakyat Sarawak harus bersatu padu menolak budaya politik DAP yang sering membangkitkan perpecahan sekiranya masih mahu mengekalkan keharmonian kaum dan kestabilan politik ke arah membangun negeri tanpa huru-hara.

“Kita mesti memberi isyarat kepada Chong dan rakan seperjuangannya di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bahawa kita sebagai orang Sarawak benci dan jijik dengan budaya politik mereka (DAP),” katanya.

Sekiranya masih terdapat rakyat negeri ini yang tidak sehaluan dengan polisi kerajaan yang memerintah, maka kerajaan BN memerlukan pembangkang yang berkualiti, berhemah dan patriotik selain DAP, tegasnya.

Sumber: UB