PETALING JAYA - Insiden penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Selasa berpunca daripada keretakan cermin kokpit pesawat syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu.
Rayani Air dalam satu kenyataan pada Selasa yang mengesahkan perkara itu berkata, pembatalan penerbangan bukan disebabkan oleh masalah teknikal.
"Cermin kokpit ditemui retak selepas penerbangan malam tadi. Kita sedang menyiasat insiden ini sama ada ia merupakan tindakan sabotaj atau tidak.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani perkara ini," menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan itu turut memberitahu ia berusaha untuk memastikan kesemua penumpang yang terkandas dapat meneruskan perjalanan dengan selamat.
"Bagi pihak Rayani Air, kami mohon maaf di atas pembatalan penerbangan dari Langkawi hari ini dan berharap penumpang dapat memahami keadaan ini.
"Bagi mereka yang mahu bayaran balik tiket penerbangan, sila hubungi talian hotline kami," katanya.
Pada Selasa dilaporkan, lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.
Penerbangan RN180 menggunakan pesawat Boeing 737 yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 11.10 pagi Selasa tidak dibenarkan berlepas selepas kerja-kerja untuk mengatasi masalah itu belum dapat diselesaikan.
Sumber: mStar