Cikgu Aishah Tangguh Hasrat Sambung Belajar Untuk Jadi Pelakon

Puteri Aishah
Pelakon baharu Puteri Aishah memberitahu dia menangguhkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan bagi memberi fokus terhadap kerjaya seni terlebih dahulu.

Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 22, berkata, dia ingin menggunakan platform Dewi Remaja 2015 lalu untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan sebelum bekerja dalam bidang perguruan sepenuhnya.

"Pada mulanya saya berhasrat untuk sambung belajar dalam diperingkat Ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) selepas menamatkan pengajian diperingkat diploma tahun lalu.

"Namun, saya tangguhkan sementara untuk cuba nasib dalam industri seni terlabih dahulu, saya rasa sayang tidak gunakan platform Dewi Remaja lalu untuk mencuba bidang seni terlebih dahulu," ujarnya.


Bagaimanapun, Aishah berkata, dia akan meneruskan hasrat tersebut kurang lima tahun selepas dia menceburi bidang seni.

Aishah atau dikenali sebagai Cikgu Aishah selepas gambarnya mengajar di sebuah sekolah tahun lalu mendapat perhatian dan menjadi viral dilaman sosial. 

"Insya-Allah dalam tempoh kurang lima tahun saya akan sambung pengajian seperti yang saya rancang, saya juga tidak mahu selamanya jadi artis.

"Saya nak tengok dahulu sejauh mana saya mampu pergi dan rezeki yang datang daripada industri seni," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang pendapat segelintir pihak yang mempertikaikan bakatnya sebagai pelakon, Aishah berkata, sebagai pelakon baharu dia masih dalam proses pembelajaran.

Katanya, selain memasuki kelas lakonan, dia juga banyak bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada pelakon lebih berpengalaman.

"Saya sedar masyarakat ada persepsi terhadap pelakon daripada Dewi Remaja yang dikatakan lebih menjual rupa paras daripada bakat.

"Perkara itu yang cuba saya sangkal dengan membuktikan tidak semua seperti itu, saya ada ambil kelas lakonan daripada pelakon Fauziah Nawi sebelum mula menerima tawraan drama.

"Saya tidak mahu kosong ketika penggambaran dan menjejaskan produksi dan pelakon lain di lokasi penggambaran," ujarnya.


Kata Aishah, dia juga mempunyai sasaran tersendiri iaitu merangkul anugerah berprestij dalam bidang lakonan bagi menyangkal dakwaan itu.

Dalam perkembangan lain, Aishah bakal terlibat dengan persembahan teater Muzikal Randai Cindua Mato pada 25 hingga 27 Mac depan di Istana Budaya.

Dia bakal bergandingan dengan beberapa pelakon terkenal iaitu Remy Ishak, Azhan Rani, Vanidah Imran, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Sumber: mStar