"Cikgu Det" Mahu Laporan Struktur Bangunan Sekolah 3 Kali Setahun

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Cikgu Det)
PADANG TERAP – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memberi laporan tiga kali setahun mengenai keadaan struktur bangunan sekolah di daerah masing-masing, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata laporan empat bulan sekali itu merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terbaharu bagi setiap PPD seperti yang diputuskan Kementerian Pendidikan.

“Saya telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD supaya mengambil serius mengenai perkara ini. PPD kena kenal pasti kes kritikal dan jika kejadian tidak diingini berulang, mereka perlu menjawabnya,” katanya kepada media setelah merasmikan Karnival Lubuk Merbau di Padang Awam Felda Lubuk Merbau di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan berkaitan seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka yang cedera akibat dihempap dinding papan bangunan sekolah akibat angin kencang semalam.

Mengenai kes melanggar undang-undang jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah, Mahdzir berkata beliau sudah mengarahkan pegawai kementerian bagi mengadakan perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia bagi menangani masalah tersebut.

Katanya ia sekali gus membabitkan perbincangan mengenai pelajar yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya termasuk tidak mempunyai lesen motosikal atau tidak memakai topi keledar ke sekolah.

Beliau juga berkata sehingga kini tiada laporan diterima mengenai pembabitan pelajar dengan kumpulan militan Daesh. – BERNAMA