Cubaan Melagakan Guru-Guru Dengan "Cikgu Det" Gagal Lagi

"Saya bekerja untuk anda". - "Cikgi Det"
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa setiap individu adalah berhak memilih untuk memberi sokongan politik terhadap mana-mana parti, termasuk warga pendidik dan guru-guru di seluruh negara.

Menurut Mahdzir yang juga merupakan bekas seorang guru, beliau tidak pernah meragui kematangan politik dan corak pemikiran guru-guru di bawah kementeriannya serta menegaskan tidak semua hanya berkisar tentang politik semata-mata.

"Setiap orang mempunyai hak dan bebas membuat pilihan kecenderungan politik masing-masing.

"Saya tidak meragui kematangan berfikir guru-guru kita. Tidak semuanya berkisar tentang politik," katanya sebagaimana yang ditulis di akaun laman Facebook rasmi beliau.

Mahdzir menulis demikian bagi mengulas sebuah "print screen" yang tersebar kononnya mendakwa pejabata UMNO Bahagian di seluruh negara sedang mengumpul maklumat guru-guru yang menyokong pihak pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan seperti itu dan berpegang teguh pada prinsip demokrasi serta hak memilih sokongan politik selain menegaskan pihaknya tidak mahu melihat sesiapa pun di kalangan guru yang teraniaya.

"Print screen" berkenaan tersebar secara meluas khususnya di ruang aplikasi Whatsapp guru-guru di seluruh negara.

Difahamkan ia merupakan modus operandi pihak tertentu yang sengaja mencipta maklumat palsu dan menyebarnya di kalangan golongan sasaran bagi menimbulkan rasa marah terhadap pihak kerajaan.

Sejak akhir-akhir ini dilaporkan golongan guru semakin kerap menjadi mangsa sebaran fitnah sedemikian bagi menimbulkan kemarahan mereka terhadap pihak kerajaan, dipercayai kerana guru-guru merupakan antara penjawat awam paling ramai di Malaysia.

Sebelum ini, Mahdzir yang turut dikenali sebagai "Cikgu Det" terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan fitnah-fitnah laman sosial seumpama itu menerusi laman Facebook rasminya itu. -Kedahnews.com