Dakwa Harga Ikan Temenung RM16 Sekilo, Penoreh Desak Naik Harga Getah

Penoreh getah dan penduduk kampung berhimpun selepas solat Jumaat.
KUALA KETIL - Penoreh getah dari beberapa kampung berkumpul mengadakan bantahan aman di hadapan Masjid Kampung Tembak A bagi mendesak kerajaan menaikkan harga getah.

Bantahan bermula selepas solat Jumaat itu turut memegang sepanduk tertera pelbagai tulisan mendesak kebajikan mereka dijaga.

Laungan 'Allahuakhbar'  dan 'naik-naik harga getah' juga bergema di hadapan masjid diselang seli ucapan pemimpin Pas dan wakil penoreh.

Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Baling, Zelani Nik Chik berkata, perhimpunan aman yang diadakan itu adalah susulan daripada kehidupan penoreh yang terjejas dengan kejatuhan harga getah.

Menurutnya, kerajaan perlu prihatin dengan masalah yang menimpa rakyat.

“Rakyat hari ini tertekan dan merungut dengan keadaan ekonomi semasa, dulu gula sekilo boleh dibeli dengan pendapatan sekilogram getah, tetapi hari ini sekilo gula hanya boleh dibeli dengan pendapatan tiga kilogram getah.

“Sama juga dengan ikan temenung, harga ikan tersebut sekarang ialah RM16 untuk sekilogram, untuk beli sekilogram ikan temenung penoreh getah terpaksa mempunyai hasil 10 kilogram getah,” katanya, kelmarin.

Zelani berkata, pendapatan penoreh getah juga berbeza di mana mereka hanya memperoleh RM400 sebulan berbanding pekerjaan lain yang rata-ratanya mencecah RM1,000 sebulan.

Penoreh Getah, Marliza Yusof, 38, pula berkata, dia terpaksa menggadaikan barang kemasnya disebabkan tidak lagi mampu menyara keluarga dengan hasil getah ketika ini.

Menurutnya, keadaan harga getah semasa juga membuatkannya terpaksa berhutang untuk membeli barangan keperluan.

“Saya ada lima anak masih sekolah, mana cukup besarkan mereka dengan harga getah sekarang ini. Saya juga terbeban dengan kenaikan harga barang,” katanya.

Marliza berkata, kerajaan juga diharap dapat membantu rakyat menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan.

“Jika kerajaan tak tolong, silap-silap rakyat boleh hidup merempat. Jika orang asing boleh hidup senang, kenapa rakyat diabaikan?,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Tembak, Mohd Fazli Md Desa berkata, perhimpunan lebih besar selepas ini akan diadakan di peringkat daerah dan negeri.

Menurutnya, pihaknya hanya menunggu tindakan daripada Pas kawasan bagi mengadakan perhimpunan besar-besaran di pekan Baling dan bersedia mengerahkan semua penduduk untuk bantahan akan datang.

“Semua itu sudah dalam rancangan, kita jangkakan kehadiran rakyat pada perhimpunan akan datang lebih ramai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bantahan mendesak kerajaan menaikkan harga getah tidak akan dilakukan sekiranya harga getah sudah kembali stabil.

“Jika pesawah dan nelayan semuanya ada badan-badan tertentu yang membantu mereka, namun penoreh tiada siapa yang tolong, Risda dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga tidak mampu menaikkan harga getah,” katanya.

Beliau berkata, harga tanaman komoditi itu perlu mencecah kepada RM3 untuk sekilogram susu getah bagi membolehkan rakyat mampu menanggung kos sara hidup.

Katanya, ketika ini harga sekilogram getah ialah RM1.60.

“Pihak kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang berjaya mengawal dan membuat pemantauan yang baik dalam perhimpunan itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian