“Datuk Seri” Palsu: MB Perak Serah Polis Siasat Sepenuhnya

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (duduk, dua kiri) dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli (kanan) menyampaikan 'ang pow' kepada pasangan yang kurang bernasib Lin Hon Sing, 76, (kiri) dan isteri, Loh Poh Ling, 65, (dua, kanan) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jelapang semalam. - Foto BERNAMA
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat isu penganugerahan pingat dan darjah kebesaran oleh pihak tidak diiktiraf di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir yakin isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi siasatan polis.

“Kita biar polis menjalankan siasatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Lin Hon Sing di Jelapang, di sini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina semalam.

Zambry mengulangi gesaan agar individu yang mendapat anugerah dengan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ daripada pihak tidak diiktiraf itu agar tidak memakai gelaran berkenaan.

Pada Isnin, Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan menerusi satu kenyataan berkata polis Perak giat mengesan individu yang menerima pingat atau darjah kebesaran daripada pihak yang tidak diiktiraf kerajaan negeri Perak bagi membantu siasatan.

Hasnan meminta individu yang diperdaya atau ditipu dengan penganugerahan itu supaya tampil membuat laporan polis. – BERNAMA