Didakwa Tukar Sejarah, Filem "Ola Bola" Bakal Disaman


DI SEBALIK kejayaan besar yang dikecapi filem pecah panggung Ola Bola, kini filem "box office" berkenaan mungkin berdepan tindakan undang-undang daripada mantan pemain bola sepak kebangsaan sendiri.

Ia tercetus apabila salah seorang daripada mereka mendakwa filem ‘pecah panggung’ arahan sutradara Chui Keng Guan itu didapati sengaja menukar fakta sejarah asal.

Bekas pemain kebangsan, Khalid Ali berkata tindakan undang-undang itu akan dibuat terhadap penerbit filem, yang mengaut kutipan belasan juta ringgit, selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa bekas pemain.

“Mana boleh fakta sejarah ditukar sewenang-wenangnya. Contohnya watak Ali (dalam filem) adalah saya, dan dalam filem itu saya menjaringkan gol kemenangan.”

“Walhal bukan saya, tetapi James Wong dan kita menang 2-1 bukannya lain daripada itu. Mereka mesti menghormati sejarah dan perlu bertanggungjawab ke atasnya,” ujar Khalid Ali yang dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, agensi berita tempatan Bernama melaporkan salah seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hassan Sani turut mengakui terdapat beberapa fakta kejayaan yang telah diubah.

Antaranya adalah keputusan jaringan gol ketika Malaysia menumpaskan Korea Selatan dalam peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, ialah 2-1 dan bukannya 3-2 seperti dipaparkan dalam Ola Bola.

Sementara itu, penjaring gol sebenar James Wong turut berkata bahawa fakta sejarah pasukan bola sepak kebangsaan tidak boleh diubah kerana ia akan mengelirukan pemikiran generasi muda.

Tambah beliau, pemain yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu sebenarnya memakai jersi nombor 9 dan bukannya pemain jersi nombor 10 seperti dipaparkan dalam filem epik tersebut.

Filem terbitan Astro Shaw ini telah mencetuskan fenomena apabila berjaya mengutip lebih RM12 juta selepas 18 hari tayangannya dan dijangka terus meningkat berikutan ia masih ditayangkan di pawagam.

Sebagai peminat filem tempatan dan ‘penyokong’ tegar sukan bolah sepak tanah air, tindakan Khalid Ali yang begitu bersungguh ingin saman pihak penerbit filem tersebut seolah-olah menunjukkan sikap tidak profesional.


Filem yang ‘diispirasikan’ daripada kisah sebenar bermaksud pihak pengarah cuba ambil beberapa susur alur jalan cerita yang berkisarkan daripada kejadian sebenar namun bukannya bermaksud diambil secara ‘bulat-bulat’.

Misalnya filem Hollywood, Black Hawk Down diadaptasi kisah pasukan tentera Malaysia menyelamatkan askar Amerika Syarikat di Somalia, mahupun filem seram, Annabelle berasal daripada cerita misteri sebuah keluarga.

Contoh terbaik ialah Titanic arahan James Cameron berjaya catat rekod ‘pecah panggung’ berbanding beberapa filem tajuk sama sebelumnya setelah dimasukkan elemen percintaan di sebalik tema insiden tragik kapal itu.

Tidak semua faktanya sama seperti jalan cerita yang asal, ia perlu diolah mengikut cita rasa pengarah agar lebih dramatik dalam konteks seni perfileman tetapi intipatinya masih lagi seakan-akan sama. -Kedahnews.com