Dr Vida Dakwa Jersi Baru PQP TRW Ada Fungsi Kurus Badan, Putihkan Kulit


EMPAT jersi pasukan Kelantan jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang bakal dilancarkan esok dikatakan mempunyai kelebihan ‘luar biasa’ apabila pemakai jersi berkenaan boleh memutih kulit dan menguruskan badan, hanya dengan memakainya.

Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hazmiza Othman atau Dr Vida berkata, jersi itu menggunakan benang yang direka khas itu dan dihasilkan di kilang di tiga negara iaitu China, Thailand dan Vietnam menggunakan teknologi terkini.

“Keempat-empat jersi yang bakal dilancarkan bagi edisi pertama ini mempunyai fungsi perangkap peluh dan mampu memutihkan kulit.

“Apabila saya mahu lakukan sesuatu, saya suka memandang ke hadapan dan biarlah hasilnya memberi manfaat kepada semua.

“Jersi ini bermula daripada benang yang mana ia turut berfungsi melancarkan perjalanan darah kepada pemakai selain menghasilkan kelembapan daripada peluh pada badan, sekali gus mampu membakar lemak.

Proses mengeringkan peluh itu akan menjadikan kulit putih seolah-olah baharu saja selesai sauna.

“Saya sudah lama membuat rekaan benang ini bagi menghasilkan produk baharu untuk kurus dan putih. Tapi alang-alang mahu reka jersi, jadi saya terus aplikasikan kelebihan ini kepada rekaan jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW),” katanya yang dipetik dari Berita Harian.


Penaja utama pasukan Kelantan itu berkata, syarikatnya akan mengeluarkan dua versi bagi keempat-keempat rekaan iaitu ‘versi eksklusif’ dan ‘versi penyokong’ dengan pengeluaran sebanyak 20,000 helai untuk edisi pertama.

Katanya, daripada empat rekaannya itu, jersi berwarna tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan di tempat sendiri sementara warna merah jambu-hitam dan biru-putih akan digunakan di tempat lawan. - Kedahnews.com