Dr Vida Mahu Bina Hotel PQPTRW Bertaraf 6 Bintang RM280 Juta


PENGASAS produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sememangnya antara ahli perniagaan yang boleh dicontohi oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Selepas menjadi penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), wanita berusia 43 tahun itu dilapor bakal menubuhkan sebuah hotel bertaraf enam bintang.

Hotel dilengkapi kemudahan sukan dan riadah itu dibina berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dikhabarkan menelan kos keseluruhan sebanyak RM280 juta yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Memetik laporan Berita Harian, Hotel PQPTRW setinggi 19 tingkat itu nanti akan dibina di tanah keluasan 0.7 hektar berhampiran papan skor Stadium Sultan Muhammad IV.

“Bahagian bawah hotel berkenaan akan dijadikan kompleks sukan yang menyediakan tempat permainan boling, padang tenis, latihan pukulan golf dan lain-lain lagi.

“Jadi, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak mereka perlu hadir perlawanan di Kelantan kerana kemudahan tempat tinggal sudah tersedia.

“Selain itu, hotel itu juga ada kafe sebagai ruang untuk peminat bola sepak menyaksikan perlawanan secara siaran langsung. Jadi mereka masih boleh menonton perlawanan beramai-ramai walaupun tidak sempat ke stadium.

“Taman tema juga dibina di sekitar hotel bagi membolehkan seisi keluarga beriadah di lokasi terbabit. Apa saya usahakan ini adalah untuk bangunkan lagi skuad PQPTRW sehingga dapat tempat di pentas antarabangsa,” katanya.

Semoga impian dan harapan Datuk Seri Vida tercapai dan prestasi pasukan PQPTRW akan sentiasa berada dalam prestasi terbaik bagi membuktikan keupayaan dan kebolehan mereka di bawah pengurusan yang baharu. – Kedahnews.com