Exco Pulau Pinang Nafi Roboh Bangunan Neo Classical


GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyangkal dakwaan kononnya struktur bangunan Neo Classical yang dibina pada 1921 di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini dirobohkan bagi membina bangunan komersial dan hotel bertaraf lima bintang.

Sebaliknya, kata Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow, kerja perobohan di kawasan berkenaan hanya melibatkan struktur lain berhampiran bangunan dikenali sebagai Hotel Runnymede.

"Pelan Kebenaran Merancang (PKM) dikeluarkan kepada Tetuan Warisan Pinang Sdn Bhd bagi tujuan pembinaan blok pejabat, kompleks komersial dan hotel sahaja, manakala Hotel Runnymede akan dikekalkan dan dibaik pulih," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Katanya kenyataan akhbar sebelum ini yang menyebut bahawa kerajaan negeri cuba menutup aktiviti perobohan bangunan berkenaan Isnin lalu iaitu ketika sambutan Tahun Baharu Cina, adalah tidak tepat.

Difahamkan, bangunan tiga tingkat itu terletak di atas tanah seluas 0.8 hektar berhampiran pesisiran pantai, sekali gus menjadikan ia antara hartanah yang paling bernilai di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Chow berkata tapak bangunan itu terletak di luar Tapak Warisan Dunia Unesco Georgetown dan masih disemak sama ada ia berpotensi untuk dijadikan bangunan warisan. - Bernama