Fahaman Liberalisme, Pluralisme Yang Sesat Lagi Menyesatkan

Gambar Hiasan
Di tengah riuh dan heboh isu politik dan ekonomi di Malaysia, ramai yang memandang remeh isu fahaman libe­ralisme dan pluralisme agama yang sedang berkembang kini, yang menyentuh langsung hal akidah dan syariah. Fahaman ini difatwakan sebagai ajaran sesat.

Pada 23 Januari lalu, berlangsung pelancaran buku tokoh liberal Turki, Mustafa Akyol, Islam Tanpa Keekstreman Berhujah Untuk Kebebasan anjuran Islamic Renaissance Front (IRF), G25 dan Penang Institute.

Tidak lama dulu G25 iaitu kumpulan liberal profesional dan bekas pegawai tinggi negara membangkitkan isu hak peribadi dan hak awam berhubung isu khalwat dan melakukan kritik tajam terhadap peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pemikiran yang dibawa oleh IRF, G25 dan menariknya Penang Institute terkandung elemen politik ingin menggagaskan faham liberal di Malaysia. Pendekatan liberal sekian lama berkembang di Barat dan kini liberalisme agama berkembang di dunia Islam.

Indonesia umpamanya sedang menghadapi wabak ini yang bercanggah dengan akidah dan syariat yang diterima pakai sekian lama. Majlis Ulama Indonesia dikecam dan kini Jakim dan Majlis Agama Islam Nege­ri pula menjadi sasaran.

Mereka menganggap ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai tradisional, ortodoks, jumud dan tidak bersifat semasa serta menjadikan pendekatan hermeneutic Barat (tafsir yang pernah berlaku terhadap agama Kristian-Protestan) sebagai landasan untuk memajukan Islam berasaskan faham sekular dan pluralisme agama.

Lebih jauh kumpulan ini tidak mahu terikat dengan gaya tafsir al-Quran sedia ada, membangkitkan isu kesetaraan gender (status lelaki dan perempuan), memperjuangkan hak asasi manusia (HAM) ikut citarasa Barat dan mahu al-Quran ditafsir semula supaya selari dengan kemajuan Barat hari ini.

Kita tidak menentang Barat kerana Barat itu Barat tetapi hati-hati dengan proses pembaratan yang terjadi kerana globalisasi umpamanya mempunyai agenda. Suatu ketika dulu Islam pernah mendukung tamadun besar dan Barat terhutang ilmu dengan kehebatan sains dan teknologi Islam. Islam ada sejarah gemilangnya.

Kemunduran yang berlaku dalam kalangan warga umat hari ini bukan disebabkan Islam menjadi penghalang utama. Sebaliknya kegemaran umat Islam berpecah-belah, mening­galkan ukhuwah Islami dan gemar melabel satu sama lain dan tinggi prasangka menjadi penyebabnya. Mereka hilang fokus terhadap kepentingan ilmu dimartabatkan.

Umat Islam harus reflektif dengan faktor kemajuan Islam dulu yang wujud daripada sinergi ulama umarak, ilmu nakliah dan akliah yang disantuni, tradisi tadabbur (kaji selidik) yang hebat, keupayaan mempelajari maklumat berbanding dari tamadun lain yang bermanfaat bukannya melakukan celupan kepada tasawwur Barat yang tidak semestinya Islamik.

Langkah kerajaan suatu ketika lalu menyekat Ulilabsar Abdallah tokoh liberalis Indonesia dari datang ke Malaysia adalah suatu usaha yang baik untuk menyekat pengaruh ini, sayangnya kedatangan Mustafa Akyol dari Turki dan suatu ketika dulu Irsyad Manji pendukung tegar faham liberal ini dibiarkan begitu saja.

Pada hemat penulis, Malaysia meraikan kebebasan berbicara atas asas yang tidak bercanggah kerana Islam adalah agama rasmi negara. Majlis Fatwa sudah membuat keputusan bahawa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sesuatu yang menyalahi patut dihormati kerana pencegahan lebih bijaksana daripada mengubati kerana bersifat ideologikal.

Isu agama terutama berkaitan al-Quran dan hadis me­nuntut keahlian dan kepakaran melakukan tafsir dan aplikasi dalam kehidupan bersyariat supaya ketertiban terjadi dan kerukunan hidup terpelihara.

Kalau ditafsirkan oleh orang yang bukan ahli, tunggulah kehancuran berlaku. Apalagi dalam kalangan kelompok yang tidak mendalami Islam, memiliki pandangan semesta (tasawwur) Barat yang pekat akan cenderung menjadi Khawarij moden.

Harus ada kesedaran dan keinsafan tinggi dalam kala­ngan umat Islam supaya tidak mudah terperangkap dengan keghairahan untuk maju sehingga membelakangkan akidah dan syariah.

Pendekatan memperkasa maqasid syariah yang sedang berjalan di Malaysia adalah suatu contoh baik ijtihad dalam kalangan ulama dan ilmuwan yang melakukan ijmak dan qiyas memberi kesan baik memperkukuh jaringan muamalah, pendidikan, perundangan dan sosial dan model kemajuan Islam.

Sumber: Utusan