Filem "Boboiboy The Movie" Bakal Temui Penonton Di Pawagam Mac Ini


Siri animasi Boboiboy yang popular di televisyen kini melangkah ke layar perak yang akan menemui penonton pada 3 Mac ini.

Filem yang berdurasi selama 1 jam 40 minit ini menampilkan kisah berbeza daripada siri yang disiarkan di kaca televisyen.

Hari ini berlangsungnya Tayangan Media Filem Boboiboy The Movie di GSC Pavilion Kuala Lumpur yang turut dihadiri beberapa pelakon suara dan krew filem serta pengarah yang terlibat.

Penampilan khas bagi filem ini ialah Fara Fauzana dan pengacara terkenal, AG.

Menurut Nizam Razak, selaku pengarah dan penulis skrip Boboiboy, filem ini bukan kesinambungan siri Boboiboy yang disiarkan di televisyen kerana ia mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Penambahan beberapa watak baru di samping watak yang sedia ada sudah tentu akan mengujakan para peminatnya.


Berkisarkan persahabatan dan keharmonian hidup berbilang bangsa, Boboiboy The Movie turut memperkenalkan watak baharu iaitu kumpulan makhluk asing Tengkotak dan robot purba Klamkabot.

Selain itu, Boboiboy dan rakan adiwira seperti Gopal, Ochobot, Yaya, Ying dan Fang dibekalkan dengan kuasa baru.

Tambah Nizam lagi, filem ini turut bakal ditayangkan di Indonesia pada 13 April ini.

“Kami yakin Boboiboy The Movie dapat memuaskan penonton kerana memaparkan aksi hebat dan pengembaraan.

“Ia bukan saja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi penonton dewasa pasti menggemari filem ini,” katanya.

Beberapa babak di dalam Boboiboy The Movie merupakan inspirasi daripada animasi Jepun dan Barat.

Pihak Animonsta Studios juga telah membuat  beberapa kajian,  berkaitan bagaimana jalan cerita filem ini dapat sampai dan menyentuh emosi para penonton.

Dalam pada itu, Nizam berkata, Boboiboy The Movie akan diterbitkan dalam dua trilogi dan mereka sudah mempunyai idea untuk siri seterusnya.


Sedikit sinopsis atau ringkasan Filem Boboiboy The Movie sebagai gambaran kepada peminat siri animasi ini.

Ianya bermula dengan kedatangan sekumpulan makhluk asing Tengkotak ke bumi untuk mecari sfera yang mempunyai kuasa luar biasa dipercayai tersorok di satu lokasi yang tidak diketahui di bumi.

Adu Du telah menyambut kedatangan kumpulan ini tanpa mengetahui apa yang dirancang oleh kumpulan terbabit. Bagi menjejaki kuasa tersebut, kumpulan yang dinamakan Tengkotak ini telah menculik Ochobot bagi membantu misi mereka.

Dengan bantuan Papazola, Adu Du dan Probe, Boboiboy bersama rakan-rakannya berusaha menyelamatkan Ochobot, sekali gus menghalang perancangan kumpulan Tengkotak.

Bagi peminat siri animasi ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem Boboiboy The Movie di panggung wayang berdekatan anda. –Kedahnews.com