GSC, TGV Tidak Jadi Buka Pawagam Di Kelantan?

Mereka yang ingin pengalaman menonton wayang di Kelantan boleh melupakan hasrat itu apabila kedua-dua syarikat pawagam terbesar di Malaysia mengesahkan bahawa mereka tiada rancangan berbuat begitu masa ini.

TGV Cinemas mengesahkan mereka ada menghubungi kerajaan Kelantan untuk memeriksa potensi bagi melebarkan sayap ke negeri pantai timur itu.

Tetapi ia cuma sebagai misi bagi pengumpulan maklumat sahaja, manakala saingannya GSC pula hanya mengesahkan minat mereka tanpa apa-apa rancangan.

“Ya, kami ada berhubung dengan kerajaan Kelantan untuk mendapat tahu tentang keperluan perlesenan untuk pawagan di Kelantan,” kata salah seorang pengurus besar TGV, Chung Shyh Kwong, kepada Malay Mail Online.

Dalam satu laporan Sinar Harian baru-baru ini, Exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood mendakwa ada tiga buah syarikat pawagam yang mahu membuka cawangan di Kelantan.

Namun semuanya tidak kembali semula untuk meneruskan perbincangan secara lebih lanjut selepas dimaklumkan syarat-syarat pembukaan pawagam di negeri Serambi Makkah itu.

Antara syarat-syarat di Kelantan termasuklah pengasingan tempat duduk untuk penonton lelaki dan perempuan, serta larangan tayangan semasa waktu Maghrib, pada ketika malam Jumaat, dan sepanjang bulan Ramadan. -Kedahnews.com