Guna Duit Tabung Masjid, Tapi Ganti Balik Kemudian

Gambar Hiasan
SOALAN:

Apakah hukum tidak amanah? Ini kerana saya diberi amanah sebagai bendahari masjid. Bolehkah saya menggunakan sedikit wang masjid dengan niat untuk menggantikan semula duit masjid apabila saya mempunyai duit.

JAWAPAN:

Amanah adalah satu perkara yang besar. Sifat amanah bermaksud jujur, integriti dan tidak menipu. Besarnya sifat amanah ini sehingga antara sifat wajib bagi seorang rasul ialah amanah.

Malah Nabi Muhammad SAW digelar al-Amin yang bermaksud seorang yang amanah. Baginda juga menyebut tentang peniaga yang amanah diangkat darjatnya bersama dengan para Nabi.

Kita tidak seharusnya menggunakan kuasa kita untuk kepentingan diri sendiri. Sebagai bendahari, kita mempunyai wang tunai dalam simpanan. Wang tunai ini hanya digunakan untuk keperluan masjid dan perkara yang dibenarkan sahaja. Jika perlu kelulusan maka prosedur ini mesti dipatuhi.

Oleh itu, tidak seharusnya kita menggunakan sedikit pun wang masjid untuk kepentingan diri. Mungkin berasa bahawa kita tidak akan khianat dan yakin akan menggantikan semula wang masjid yang telah gunakan.

Mana tahu jika kita mati sebelum sempat kita membayarnya. Jika perbuatan menggunakan wang masjid untuk kepentingan peribadi, laporan pecah amanah boleh dibuat. Kita akan dituduh sebagai tidak amanah.

Jika tiada apa yang berlaku, maka perbuatan kita ini biasanya akan berlanjutan kerana berasa selesa menggunakan wang masjid. Mulanya mungkin sekadar RM10 tetapi lama kelamaan akan menjadi puluhan ringgit dan ratusan ringgit. Maksiat yang besar bermula apabila kita mengambil mudah dengan maksiat yang kecil.

Begitulah bagi insan yang diberi amanah. Hendaklah ingat tanggungjawab kita, dosa dan pahala. Semuanya akan dihisab di akhirat nanti.

Sumber: Utusan