Gunakan Media Sosial Dampingi Pengundi Muda - Mahdzir Khalid

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid
PADANG TERAP - Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan kaedah sentuhan melalui media sosial bagi menarik minat pengundi muda di bandar dan luar bandar untuk menyokong parti itu.    

Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengundi muda pada masa ini dilihat lebih agresif di media sosial, justeru penggunaan medium tersebut pada masa sekarang amat penting.   

"Malah rakan Facebook saya juga 30 peratus adalah orang muda. Jadi kita sebenarnya kena menggunakan media sosial untuk memberi maklumat kepada orang muda kerana mereka lebih aktif di situ," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah, di sini yang terbakar Ahad lalu.    

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau yakin dengan kekuatan jentera Umno dan BN di peringkat cawangan serta bahagian untuk menghadapi Pilihanraya Umum.   

"Sekarang kita ada 10 Parlimen BN dan 21 Dewan Undangan Negeri. Saya mempunyai keyakinan penuh kita boleh pertahankan kerusi-kerusi dengan prestasi wakil-wakil rakyat kita," katanya. - Bernama