PESAWAT Bombardier CL 415 milik APMM melakukan 'water bombing' ketika membantu melakukan pemadaman kebakaran di puncak Gunung Baling - Foto Safuri Kamarudin |
BALING - Sebuah pesawat Bombardier CL 415P milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia digunakan bagi membantu memadam kebakaran di Gunung Baling yang bermula kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling Mohd Suffian Alias berkata operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat itu dijangka dimulakan kira-kira 3.45 petang semalam.
"Kami akan bekerjasama dengan Maritim untuk memadam kebakaran ini. Punca kebakaran masih belum diketahui," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Syariffuddin Yusof berkata semua aktiviti pendakian dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada operasi tersebut.
"Orang ramai dilarang berada atau mendaki Gunung Baling sehingga diberitahu," katanya.
Kebakaran yang bermula sejak 2.40 petang semalam itu belum dapat dipadamkan sepenuhnya, setakat petang ini, memaksa kesemua aktiviti pendakian dihentikan. - Bernama