Hilang Sokongan Majoriti Punca Mukhriz Lepas Jawatan MB Kedah


ALOR SETAR - Krisis Menteri Besar Kedah dilihat hampir ke penghujungnya apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan beliau akan berundur dari jawatan tersebut sebentar tadi.

Pengumuman berkenaan dibuat secara rasmi menerusi satu sidang media di Blok E, Wisma Darul Aman.

Mukhriz yang diiringi oleh dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Aminuddin Omar dan Datuk Suraya Yaacob mengumumkan pengunduran tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah dan memutuskan untuk melepaskan jawatan Menteri Besar dan semua jawatan berkaitan.

"Saya dimaklumkan saya hilang sokongan majoriti oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah semalam," katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman di sini.

Adun Ayer Hitam tu juga mengesahkan perletakkan semua jawatannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Mukhriz berkata, beliau akan tetap setia kepada UMNO walaupun kini tidak mempunyai sebarang jawatan.

Difahamkan, Mukhriz terpaksa berbuat demikian selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati bahawa Adun Ayer Hitam itu telah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun negeri itu.

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baru dijangka bakal diadakan pada Khamis ini. -Kedahnew.com