Ibu Denda Anak Paksa Makan Lebih 30 Ikan Emas, Simbah Air Panas

Gambar Hiasan
TOKYO – Seorang ibu di Jepun didapati mendenda anak perempuannya dengan memaksa remaja itu memakan lebih 30 ikan emas peliharaannya, menurut polis dan media tempatan di negara itu.

Kes terbaharu itu meningkatkan lagi tahap kebimbangan masyarakat apabila Jepun kini dibelenggu masalah kes penderaan kanak-kanak, yang mencatatkan jumlah rekod tinggi sejak kebelakangan ini.

Yuko Ogata dan teman lelakinya, Takeshi Egami; kedua-duanya sudah ditangkap polis, memaksa mangsa makan bangkai ikan-ikan emas itu pada Jun lalu, menurut polis kepada agensi berita AFP pada Rabu.

Polis Jepun menambah, anak perempuan Ogata itu juga dikatakan didera pada setiap hari dan media melaporkan, pasangan kekasih tersebut menetap di wilayah Fukuoka di barat daya negara berkenaan.

Suspek terlebih dahulu membunuh ikan-ikan tersebut dengan membuangkan sabun cuci ke dalam tangki ikan sebelum remaja perempuan itu dipaksa makan lebih 30 ikan emas berkenaan satu persatu.

Menurut laporan stesen Nippon Television Network, keadaan kesihatan mangsa tersebut bagaimanapun tidak terjejas akibat dipaksa memakan puluhan bangkai ikan peliharaan berkenaan.

Ogata and Egami turut dilaporkan pernah didakwa pada tahun lalu kerana mengikat remaja itu dengan tali ke katil, menumbuk mukanya dan membakar lidah mangsa mengunakan puntung rokok.

Termasuk penangkapan pada kali ini, pasangan itu sudah pun diberkas polis sebanyak lima kali sejak tahun lalu berhubung penderaan remaja berkenaan, menurut laporan media tempatan lagi.


Kes tersebut hanya salah satu daripada banyak lagi kes dera anak yang agak mengejutkan di Jepun sejak kebelakangan ini. Pada bulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati.

Ia berlaku setelah ibunya sengaja menyimbah air mendidih ke arah mangsa hingga mukanya melecur dengan teruk namun polis menangkap wanita itu dan teman lelakinya kerana cuai ketika menjaga kanak-kanak.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Jepun, pusat-pusat perlindungan kanak-kanak di negara itu mengendalikan jumlah 89,000 kes dera dalam rekod terkini yang berakhir pada Mac 2015 lalu.

Jepun juga dibelenggu masalah dera warga emas. Kelmarin seorang bekas pekerja rumah jagaan ditangkap kerana dituduh mencampakkan seorang penghuni berusia 87 tahun daripada sebuah balkoni pada 2014.

Media melaporkan, suspek juga mengaku membunuh dua lagi penghuni berusia 80-an dan 90-an tahun dengan mencampakkan mereka daripada balkoni dalam tahun yang sama. – Agensi