Bagaikan lirik lagu "Dulu lain, Sekarang lain", ternyata proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah pada zaman sekarang jauh berbeza dengan dahulu.
Jika dahulu para guru sangat dihormati dan disegani oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa, namun lain pula situasinya zaman ini.
Senario pelajar dihukum atas kesalahan yang dilakukan adalah perkara biasa suatu ketika dahulu. Kesalahan yang biasa pelajar lakukan antaranya, masalah disiplin diri, tidak menyiapkan tugasan yang diberi, nakal dan bermacam-macam lagi.
Namun, tiada pula kes ibu bapa datang ke sekolah dan memarahi guru yang menghukum anak mereka. Malah paling ramai pernah mengalaminya, pelajar yang mengadu dimarah guru akan lebih teruk dimarahi oleh orang tua mereka.
Kepercayaan yang diberi kepada para guru sangat tinggi di zaman itu.
Namun, lain pula situasi zaman sekarang. Guru-guru sering dipersalahkan atas kesalahan yag dilakukan oleh para pelajar. Guru-guru pula dikatakan tidak berhak untuk menghukum pelajarnya.
Jika dia melakukan sebaliknya, terpaksalah guru tersebut berdepan dengan ibu bapa pelajar itu. Ada yang diseranah dengan kata-kata kesat, ada yang diserang, ada yang dipukul dan ada pula yang membuat laporan polis.
Meskipun ada kes-kes terpencil yang tidak wajar dilakukan segelintir guru, namun rata-rata kes dikatakan adalah berpunca dari para pelajar zaman sekarang yang 'tercemar' dengan salah didik ibu bapa dan terbiar dari perhatian keluarga.
Trend terkini, media sosial pula dijadikan sebagai medium untuk ibu bapa zaman sekarang berdepan dengan guru. Sebagai contoh, seorang guru telah diserang melalui laman aplikasi Whatsapp kerana prestasi anaknya teruk.
Tidak berpuas hati dengan prestasi anaknya di dalam pelajaran, ibu ini mengambil pendekatan untuk bertanya sendiri kepada guru kelas.
Namun pertanyaan yang diutarakan kepada guru terbabit seolah-olah meletakkan semua kesalahan di bahu guru tersebut.
Pertanyaan yang dianggap biadap dan melulu itu mengundang rasa tidak puas hati dan reaksi pelbagai netizen.
Cikgu berkenaan menjelaskan mengapa prestasi anak wanita tersebut merudum.
.
Rata-rata netizan turut meluahkan rasa tidak senang hati dan kurang bersetuju dengan tindakan ibu bapa pelajar terbabit yang menyerang guru tersebut tanpa usul periksa akibat terlalu percayakan anak mereka.
Dikatakan bahawa golongan ibu bapa yang bersikap sebeginilah yang "merosakkan" generasi akan datang dengan menerap budaya manja tidak bertempat sehingga berpotensi mencipta generasi "anak ku Sazali". –Kedahnews.com