Zaini bersama Alvina (bertudung) dan Syiffa di kediaman keluarganya. |
CHANGLUN - Setelah hilang tempat bergantung sejak kematian suami, seorang ibu tunggal beranak tiga terpaksa hidup menumpang di rumah ibu bapanya yang turut didiami tujuh ahli keluarga lain.
Noor Zaini Mansor, 35, hilang arah tuju setelah suaminya, Ibrahim Jalil, 33, meninggal dalam kemalangan jalan raya enam tahun lalu dan kini menumpang rumah keluarga di Taman Sri Meranti bersama dua anak iaitu Nur Alvina, 9, dan Syiffa Al-Fania, 6, manakala anak sulung Anis Amalina, 15, dijaga orang lain sejak kecil.
Rumah teres setingkat yang mempunyai tiga bilik kelihatan tidak selesa untuk menampung 10 ahli keluarga, apatah lagi keadaannya agak daif kerana bumbung bocor di dapur dan ruang tamu.
Noor Zaini yang berbaju kurung lusuh ketika ditemui kelihatan pucat dan lesu kerana mengalami masalah kesihatan kronik.
“Saya ada masalah injap jantung tersumbat sejak 11 tahun lepas dan barah payudara. Saya selalu kena batuk berdarah dan sesak nafas jadi sebabkan tu tak dapat nak bekerja," katanya yang ditemani kedua-dua anak dan ibunya, Hatoon Ahmad, 64,
Ditanya berkenaan rawatan susulan, dia yang pernah menjalani pembedahan membuang ketulan di payudara berkata, sudah lama tidak pergi ke hospital kerana tiada kenderaan selain bayaran teksi ke Alor Setar mahal dan di luar kemampuannya.
“Belanja seharian saya dan anak-anak bergantung kepada ayah yang jual ikan di Pekan Changlun. Mujurlah Alvina dapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah jadi dapatlah saya berjimat,” katanya.
Dalam pada itu, simpati dengan nasib anak ketiganya itu, Hatoon sanggup mengambil alih tugas menghantar Alvina dan Syiffa ke sekolah walaupun hanya mampu berbasikal.
“Setiap pagi, saya mengayuh basikal yang diberi seorang ustazah untuk hantar dan ambil Alvina di sekolah sejauh kira-kira tiga kilometer.
“Pernah saya dan cucu lencun kena air hujan," katanya sambil mengesat air mata.
Lebih menyedihkan apabila Syiffa yang belajar di Tadika Kemas Taman Meranti kini sudah seminggu tidak hadir ke sekolah kerana masalah pengangkutan.
“Saya tak tahu apa nasib anak (Zaini) dan cucu-cucu kalau saya dan suami dah tak ada,” katanya dalam nada sedih.
Sementara itu, Zaini menerima bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Ogos tahun lalu namun jumlahnya belum cukup menampung kos kehidupan mereka termasuk rawatan susulannya.
Oleh itu, Zaini memohon bantuan mana-mana pihak untuk meringankan bebannya sekeluarga dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 02111-41-00006301-3 atas nama Noor Zaini Mansor atau menghubungi melalui talian 011 1659 7667.
Sumber: Sinar Harian