Ibu Tunggal Di Sik Kadang Kala Buntu Cari Rezeki Untuk Keluarga

Aminah bersama ibu dan anak bongsunya.
SIK - Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Demikian gambaran tentang kesukaran seorang ibu tunggal yang terpaksa memerah keringat mencari nafkah bagi membesarkan sembilan anaknya seorang diri selepas kematian suami empat bulan lalu akibat sakit jantung.

Setiap hari, ibu muda ini, Aminah Sham Ahmad, 38, mengambil upah membuat kuih sepit dengan bayaran RM25 sehari, namun ia masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan anak-anak kerana tugasnya itu bergantung kepada tempahan.

"Kalau tak ada tempahan, pengusaha tak bayar upah. Nak cari kerja lain pun susah sebab saya ada anak kecil berusia tiga tahun. Tak ada siapa nak jaga kalau saya keluar kerja jauh-jauh," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kota Bukit, Jeneri.

Menurutnya, ada masanya dia seperti 'mati kutu' bagaimana hendak mencari rezeki kerana sebelum ini perbelanjaan keluarga ditanggung sepenuhnya oleh Allahyarham suami.

"Walaupun dia cuma menoreh getah saja, tapi Alhamdulillah rezeki tu sentiasa ada," katanya.

Aminah berkata, buat masa ini dia perlu menanggung lima anaknya yang masih bersekolah termasuk selain anak kecil berusia tiga tahun.

"Anak kedua dan ketiga saya kerja di kedai makan di Kuala Lumpur. Mereka ada juga bagi duit belanja, tapi taklah selalu. Saya pun faham keadaan mereka di kota besar sana.

"Anak sulung pula masih belajar di Kolej Teknologi Balik Pulau. Mujur dia dapat pinjaman Mara jadi kuranglah sikit beban saya," kata Aminah yang kini tinggal bersama ibunya, Che Jan Yaacob, 77.

Tambahnya, dia terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat menggunakan wang bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi.

Sementara itu, ibunya, Che Jan berkata, walaupun dia lega anaknya duduk bersama, namun sedikit sebanyak timbul simpati kerana Aminah terpaksa melakukan semua perkara termasuk menjaga dirinya.

"Saya pun dah tua, tak larat nak kerja. Semua keperluan harian Aminah yang uruskan," katanya.

Bagi anda yang ingin membantu meringankan beban Aminah, sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Simpanan Bank Nasional 02103-41-00000329-7 atas nama Aminah Sham Ahmad.

Sumber: Sinar Harian