IKEA Dilaran Pihak Berkuasa Guna Nama "IKEA" Di Indonesia

JAKARTA – Gergasi perabot rumah antarabangsa IKEA hilang hak penggunaan jenamanya sendiri di Indonesia setelah pertikaian undang-undang dengan sebuah syarikat tempatan di negara itu, yang menuntut jenama sama.

Keputusan mahkamah itu mungkin membuatkan syarikat asing kini perlu lebih berhati-hati untuk melabur di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, yang tumbuh dari rentak perlahan sejak krisis kewangan global.

“Mesej utama ialah supaya usahawan yang ingin buka perniagaan di Indonesia perlu peka dan daftarkan jenama mereka agar tidak dirampas,” kata Ketua Penganalisis Risiko Concord Conculting di Jakarta, Keith Loveard.

Pada 2014, hakim mahkamah komersial Jakarta memberikan hak penggunaan jenama ‘Ikea’ kepada PT Ratania Khatulistiwa, sebuah syarikat tempatan yang merancang untuk jual perabot rumah pun dengan nama jenama itu.

Ia sebenarnya merupakan singkatan kepada nama Intan Khatulistiwa Esa Abadi. Namun Inter IKEA Systems B.V., iaitu sebahagian daripada divisyen francais syarikat dari Sweden itu kebetulan turut mendaftar jenama “IKEA”.

Mereka berbuat demikian dengan pihak direktorat agung harta intelektual Indonesia sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2006 dan 2010 lalu, menurut dokumen-dokumen perundangan yang dikeluarkan awal minggu ini

Bagaimanapun, Ratania terletak di Surabaya, Jawa Timur, berjaya menewaskan gergasi perabot asing itu dengan hujah firma IKEA sudah tidak menggunakan jenamanya bagi tujuan komersil selama tiga tahun berturut-turut.

Susulan itu, Inter IKEA Systems terpaksa mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Indonesia, yang kemudian ditolak pada tahun lalu, menurut dokumen mahkamah yang dimuat naik menerusi lamannya awal minggu ini.

Pada 4 Februari, peguam Inter IKEA di Indonesia dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang dimuktamadkan pada bulan Mei 2015, menurut jurucakap Inter IKEA, Niclas Bengtsson, melalui kiriman emel.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan punca kepada penangguhan tersebut. IKEA yang diasaskan Ingvar Kamprad pada 1943 mula membuka cawangan pertama di Indonesia yang terletak di pinggir Jakarta pada 2014.

Peruncit Indonesia PT Hero Supermarket TbK adalah pemilik francais yang beroperasi di negara itu. IKEA kini ialah gedung perabot terbesar di dunia dengan 373 cawangan di 47 buah negara serta 147,000 orang pekerja.

“Apa yang boleh kami katakan sekarang adalah kami sedang meneliti keputusan itu dan kami yakin bahawa kami akan dapat meneruskan operasi IKEA di Indonesia pada masa akan datang,” tambah Bengtsson kepada media.

IKEA ada pilihan sama ada untuk mengemukakan rayuan kepada mahkamah yang sama, mengubah namanya atau membayar yuran royalti kepada syarikat Indonesia berkenaan, menurut seorang pakar guaman ternama. – Agensi