Imigresen Kedah Tahan 2 Wanita Warga Thai Di Rumah Urut Ibu Negeri


ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan dua wanita warga Thailand dalam ‘Op Ikrar’ yang dijalankan di premis rumah urut di Jalan Kampong Perak, di sini kelmarin.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi 6 petang itu, wanita berumur 42 dan 46 tahun itu ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja di premis itu.

“Hasil siasatan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti tidak bermoral dan berselindung di sebalik khidmat refleksologi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Yusri berkata dua wanita itu kini ditempatkan dalam lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA